'Penuhi hasrat isteri bomba lemas miliki rumah'

Sunday, October 7, 2018

'Penuhi hasrat isteri bomba lemas miliki rumah'

'Penuhi hasrat isteri bomba lemas miliki rumah'

KUANTAN - Hasrat isteri anggota bomba, allahyarham Mohd Fatah Hashim untuk memiliki rumah sendiri akan dibantu.

Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Indera  Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sendiri akan membantu permohonan Noor Nadia Kamaludin, 29 untuk mendapatkan sebuah rumah di Kulai, Johor.

Menurutnya, isteri allahyarham menyatakan hasrat untuk kembali ke kampung keluarganya di Kulai selepas kehilangan suami akibat lemas ketika operasi menyelamat di Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu lalu.

"Sekarang dia menyewa di Klang dan berhasrat untuk memiliki rumah sendiri selepas kembali ke daerah kelahirannya itu.

"Saya cuba membantu untuk mempermudahkan permohonannya  mendapatkan sebuah rumah yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga allahyarham di Kampung Baru Beserah di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, beliau akan berhubung dengan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian minggu depan berhubung hasrat itu.

"Insya-ALLAH, saya akan dapatkan bantuan beliau supaya hasrat  Noor Nadia ini dipermudahkan.

"Kita tengok nanti apa bentuk bantuan yang dapat dipertimbangkan Kerajaan Johor," katanya.

Beliau berkata, dia juga akan membantu menguruskan proses perpindahan Noor Nadia ke Kulai nanti.

"Kita akan bantu mungkin dalam aspek pengangkutan bagi urusan pemindahan barangan rumah dan sebagainya.

"Buat sementara waktu dia mungkin tinggal bersama keluarga di kampung dan barang-barangnya juga boleh ditempatkan di sana sebelum dapat rumah," katanya.

Beliau berkata, dia juga akan membantu dalam urusan permohonan khariat kematian untuk allahyarham.

"Saya difahamkan proses itu sedang diuruskan melalui agensi terlibat.

"Hari ini saya menghulurkan sedikit sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga ini," katanya.

Saifuddin berkata, pengorbanan allahyarham Mohd Fatah dan lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia(JBPM) yang turut terkorban dalam operasi itu cukup besar.

"Bagi saya, mereka wira yang tidak didendang. Mereka komited dalam tugasan biarpun terpaksa merisikokan nyawa sendiri untuk menyelamatkan orang lain.

"Pihak bomba akan buat 'post moterm' berhubung eksiden ini.Jadi semua pihak perlu menunggu keputusan dibuat nanti dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Enam anggota bomba lemas di lombong]



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment