Georgetown dipilih sertai dua projek Unesco
GEORGETOWN - Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) memilih Georgetown untuk menyertai dua projek warisan perintis.
Ketua Unit Kebudayaan Pejabat UNESCO di Jakarta, Moe Chiba, berkata projek perintis pertama akan memfokuskan urusan penyediaan inventori berkaitan warisan budaya tidak ketara melalui penyertaan masyarakat dan Georgetown menjadi satu-satunya bandar raya di Asia dipilih menyertai projek itu.
âPendekatannya melibatkan penyertaan masyarakat setempat dalam menyediakan inventori berkenaan. Ia tidak akan diterajui ahli akademik tetapi adalah inisiatif diterajui masyarakat sendiri. Kami melaksanakannya di Georgetown di samping dua bandar raya lain di Afrika dan di Amerika Latin.
âInventori perlu dibuat di peringkat tempatan kerana pada akhirnya nanti masyarakat, pemegang kepentingan akan berasa komited untuk meneruskan amalan itu,â katanya selepas perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Pengurusan Warisan Budaya Bandar (MUCH) 2018 oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dengan cara itu, masyarakat akan dapat menceritakan kisah mereka sendiri kepada orang ramai serta memberi fokus terhadap perkara yang dianggap penting.
Menurut Chiba, projek kedua pula akan memberi tumpuan tentang cara untuk membangunkan industri tempatan di tapak warisan dunia melalui penglibatan semua pihak berkenaan dalam usaha menyediakan pelan tindakan.
âKami sedang memulakan projek ini yang bertujuan menghimpunkan semua pihak berkaitan, muzium, pusat industri kreatif, tukang tempatan, pengamal warisan dan pengurus tapak untuk sama-sama menyediakan pelan tindakan bagi mewujudkan kehidupan yang lebih sejahtera di bandar raya warisan,â katanya.
Chiba berkata Georgetown dipilih menyertai projek itu kerana bandar raya ini mempunyai potensi untuk menjadikannya berjaya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan berusaha memajukan sektor industri kreatif bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan pekerjaan serta pendapatan untuk isi rumah melalui projek dan kerjasama yang diadakan.
âKami tahu ia akan merintis jalan ke arah terbentuknya interaksi antara penerokaan bersifat tradisional, kontemporari dan baru dalam bidang warisan budaya.
âIa Sekali gus menghasilkan jenama âMade in Georgetownâ yang unggul, berserta produk pelancongan warisan berkualiti tinggi yang akan menjana pendapatan serta menambah baik kehidupan masyarakat tempatan,â katanya.
Persidangan empat hari itu menampilkan 37 penceramah dan moderator dari 15 negara yang berkongsi inisiatif mereka tentang pengurusan warisan bandar, membincangkan perkara berkaitan pendekatan pengurusan warisan dan strategi inovatif serta terlibat dengan perbincangan bersifat konstruktif tentang cabaran dan peluang dalam pengurusan warisan budaya dengan lebih 100 peserta. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment