Falsafah, raja segala ilmu

Monday, October 1, 2018

Falsafah, raja segala ilmu

Falsafah, raja segala ilmu

NIAT saya menulis artikel ini ialah untuk berhujah mengapa setiap universiti dan kolej patut wajibkan subjek Falsafah untuk semua mahasiswa dalam semua jurusan. Saya juga berhujah bahawa pendakwah-pendakwah yang bergiat dalam masyarakat multibudaya wajib juga belajar ilmu falsafah. Tidak cukup kalau sekadar tahu ilmu perbandingan agama.

Apa itu falsafah? Bila saintis terkenal Isaac Newton memperkenalkan teori graviti, beliau menulis berkenaannya dalam sebuah buku yang diberi tajuk “Natural Philosophy”. Mungkin ramai yang tidak sangka bawa fizik adalah sebahagian daripada ilmu falsafah dulu. Bagi Newton, isu graviti adalah isu falsafah!

Apakah sebenarnya falsafah? Sebelum kurun ke-19, perkataan sains tidak digunakan. Kalau kita sebut sains sebelum kurun ke-19, masyarakat tidak akan memahami apa yang kita maksudkan.

Dalam kitab Al-Munqidh, Imam Al-Ghazali telah menyenaraikan subjek-subjek yang akan dibincangkan dalam ilmu falsafah. Ia adalah matematik, logik, fizik, metafizik, politik dan etika. Kalau ikut senarai Jabir Ibn Haiyan, kimia adalah sebahagian daripada falsafah. Kalau ikut Aristotle, biologi juga. Kalau Ibn Khaldun, sejarah dan sosiologi juga adalah falsafah. Bagi Al-Biruni, perbandingan agama juga adalah berpaksikan pada ilmu falsafah.

Ilmu falsafah begitu luas. Ia merangkumi cabang-cabang ilmu yang banyak. Walaupun seorang failasuf bukan pakar fizik, tapi bila dia belajar falsafah, dia belajar falsafah tentang fizik. Maknanya dia memahami akar segala ilmu, termasuk fizik. Inilah sebab ilmu falsafah dikenali sebagai Raja Segala Ilmu.

Perkataan falsafah bermakna pencarian hikmah. Kalau sesiapa yang berminat untuk mencari hikmah, dia akan belajar ilmu falsafah. Sesiapa yang tidak berilmu falsafah, dia tidak berhikmah.

Ilmu falsafah begitu penting sehingga Plato dan Al-Farabi berhujah bahawa pemimpin negara yang paling berhikmah ialah yang memiliki ilmu falsafah. Khalifah Al-Makmun begitu obses dengan ilmu falsafah sehingga menubuhkan Baitul Hikmah, sebuah perpustakaan, pusat penterjemahan dan pengajian ilmu-ilmu falsafah yang berjaya menghasilkan revolusi sains global.

Imam Al-Ghazali sendiri membahagikan empat kategori pencari kebenaran iaitu golongan yang bergiat dalam Ilmu Kalam, golongan yang percaya bahawa kebenaran boleh didapati hanya dengan  taasub pada wali atau imam, golongan ahli falsafah dan golongan sufi.

Memang failasuf tidak sehebat Nabi. Jauh sekali tetapi ia adalah salah satu dari empat kategori pencari kebenaran. Pendakwah perlu tau manhajnya kerana failasuf adalah penyaing manhaj Nabi dalam mencari kebenaran.

Ilmu falsafah begitu penting sehingga Imam Al-Ghazali mempelajarinya selama tiga tahun dan menulis banyak buku mengenainya. Bahkan beliau cuba satukan usul fiqh dengan logik falsafah.

Imam Abu Hasan Ash’ari juga terpaksa belajar ilmu falsafah untuk memperkasakan ilmu kalam dalam usaha membela aqidah Islam. Ibn Taimiyyah, yang menjadi sumber inspirasi salafisme yang begitu keras mengharamkan pengajian falsafah, pada hakikatnya juga telah mengkaji dan menulis kitab berjilid-jilid mengkritik mantiq dan metafizik falsafah.

Fakhruddin Ar-Razi yang beralih daripada kajian falsafah kepada tafsir al-Quran juga telah menulis tafsir berdasarkan manhaj falsafah. Ilmuwan-ilmuwan zaman kegemilangan tamadun Islam iktiraf impak dan pengaruh falsafah yang besar.

Kita lihat impak ini di dunia moden. China telah beralih dari sistem monarki kepada sistem sosialis yang terbina atas falsafah Karl Marx. Tanpa karya failasuf Karl Marx, China yang kita kenal sekarang tak akan wujud!

Begitu juga Amerika. Sistem politik liberal Amerika adalah berdasarkan falsafah John Locke. Tanpa karya failasuf ini, Amerika tak akan diperkasakan oleh Liberalisme.

Sistem politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan undang-udang dunia adalah hasil usaha arkitek-arkitek yang bernama failasuf. Belajar ilmu falsafah menjadikan kita arkitek dunia. Jahil ilmu falsafah akan menjadikan kita sekadar pengguna, bukan produser sistem.

Kalau tak mahu jadi hanya sekadar pengikut tuli, belajarlah ilmu falsafah. Contohnya seorang mahasiswa dalam bidang IT yang berilmu falsafah. Dia akan mampu mengaitkan IT dengan ilmu-ilmu lain, dan menggunakan integrasi ilmu ini untuk mengubah dan melahirkan dunia IT yang lebih bermanfaat dan berhikmah kepada kemanusiaan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment