Dadah, kenderaan bernilai RM155,100 dirampas

Tuesday, October 9, 2018

Dadah, kenderaan bernilai RM155,100 dirampas

Dadah, kenderaan bernilai RM155,100 dirampas

KEMAMAN - Satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak lebih dua tahun lalu di daerah ini akhirnya tumpas selepas polis berjaya menahan lima lelaki bersama dadah, wang tunai dan kenderaan dianggarkan bernilai RM155,100.

Lima lelaki berusia antara 19 hingga 29 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang, Kemasik, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Dalam serbuan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah berjaya merampas sebanyak 52 botol dadah disyaki heroin dan 310 biji dadah disyaki pil kuda yang harganya di pasaran gelap dianggarkan bernilai RM27,000 dan mampu menampung bekalan kepada 1,000 penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan awal menjumpai dua botol dadah disyaki heroin dan 110 biji pil disyaki dalam beg pinggang yang dipakai salah seorang suspek.

Mohd Said memeriksa enam motosikal yang disita.

"Pemeriksaan lanjut di dalam bilik tidur bersebelahan dengan dapur rumah itu menjumpai satu bungkusan plastik berwarna ungu dalam keadaan berikat di tepi tilam.

"Plastik itu berisi 50 botol plastik cerah mengandungi serbuk dan ketulan putih disyaki dadah dan satu telefon bimbit jenis Samsung," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.

Mohd Said berkata, pemeriksaan di atas siling di bilik itu turut menjumpai satu beg berwarna gelap berzip bercorak petak yang mengandungi satu paket plastik berwarna biru berisi 200 biji pil berwarna merah disyaki dadah.

Menurut beliau lagi, turut dijumpai satu bungkus plastik cerah di dalamnya berisi sejumlah penyedut minuman, satu gulung aluminium foil, dua gulung pita pelekat berwarna hitam dan satu botol plastik cerah bertudung hitam yang telah diubah suai menjadi alat penagihan dadah.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut juga pihaknya berjaya merampas wang tunai sebanyak RM3,300 yang dipercayai hasil penjualan dadah.

Sebuah pacuan empat roda turut disita susulan penahanan lima lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang, Kemasik.

"Lanjutan itu polis juga merampas dan menyita sebanyak enam buah motosikal, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah kereta Proton Wira yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM124,800," katanya.

Tambah Mohd Said, siasatan awal mendapati sindiket itu mendapat bekalan dadah dari pembekal di Johor dan menjualnya kepada penagih dadah di sekitar Kemaman terutama di Kemasik dan Kerteh.

Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing empat daripada suspek positif dadah jenis methaphetamine selain empat daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah.

Katanya, kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh dan penganggur ditahan reman selama tujuh hari hingga 14 Oktober ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Mohd Said mengingatkan keluarga suspek yang berdepan dengan siasatan Seksyen 39B ADB 1952 agar tidak mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon kononnya pemanggil itu boleh membantu menyelesaikan kes yang sedang disiasat.

Katanya, keluarga perlu memastikan kesahihan maklumat kerana dalam kes sebelum ini ada keluarga suspek menerima panggilan daripada pihak yang menyamar sebagai polis, mahkamah dan sebagainya hingga mereka mengalami kerugian kerana membayar sejumlah wang untuk menyelesaikan kes.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment