Anwar bukan datang berkempen

Thursday, October 4, 2018

Anwar bukan datang berkempen

Anwar bukan datang berkempen

SEREMBAN - Walaupun sebelum ini calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali menegaskan yang beliau tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen pada PRK Parlimen Port Dickson, tapi ia sebaliknya berlaku.

Pada majlis ramah mesra Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bersama warga Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera(Pusasda) di sini, hari ini, Anwar hadir sebagai tetamu, malah turut diberi peluang untuk memberikan ucapan.

Dalam ucapannya, beliau tidak mahu menawarkan sebarang janji bagi mematuhi peraturan kempen pilihan raya yang bersih.

“Saya telah ambil keputusan untuk jadikan Port Dickson sebagai markas saya dalam memulakan semula karier politik dan meneruskan perjuangan.

“Sudah tentu saya akan memberi perhatian kepada masalah rakyat termasuk juga masalah tentera. Saya pernah jadi menteri kewangan selama lapan tahun dan dari mula saya ambil, stretegi kita adalah untuk pastikan belanjawan berimbang dan kemudian setelah dua tahun belanjawan lebihan.

“Pada waktu itu saya telah menyelesaikan masalah perumahan  dan itu pertama kali diadakan perumahan untuk golongan tentera dan polis,”katanya yang kemudiannya beredar lebih awal sebaik selesai menyertai jamuan makan yang disediakan.

Bagaimanapun Aminuddin ketika ditanya pemberita mengenai kehadiran Presiden PKR itu, beliau menafikan  Anwar datang untuk berkempen.

Jelasnya, jemputan kepada Anwar untuk turut serta dalam program tersebut dibuat ketika mereka bersarapan pagi bersama.

“Saya cakap nak hadir ke Pusasda dan telah pelawanya untuk bersama dan Datuk Seri Anwar pun bersetuju. Kami pun naik satu kereta.

“Saya rasa tiada pun ucapan kempen  dan Anwar pun tiada pula cakap undilah saya. Beliau hadir ke sini atas jemputan peribadi saya dan saya juga yang menjemputnya untuk berucap,” katanya.

Manakala Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Reduan Omar ketika diasak soalan sama  memberitahu sebagai tuan rumah, beliau sangat mengalu-alukan kehadiran Menteri Besar buat pertama kali dan menganggapnya sebagai satu penghormatan.

“Jika menteri besar nak bawa sesiapa, saya tak dapat nak melarang kerana kehadiran beliau pun adalah satu penghormatan buat warga tentera. Tapi bila Anwar datang, tak kan kita nak halau pula dan saya anggap dia sebagai tetamu,”katanya.

Hadir sama bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Wira Md Tajri Alwi.   

Terdahulu media melaporkan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'cakap tidak serupa bikin' apabila tidak mahu menggunakan jentera dan kemudahan kerajaan dalam kempennya di PRK Parlimen Port Dickson, tetapi sebaliknya berlaku.

Beliau merujuk kehadiran Anwar di majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera di Muzium Tentera Port Dickson serta menggunakan kenderaan rasmi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, baru-baru ini.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment