Air mata mengalir terkenangkan arwah

Sunday, October 7, 2018

Air mata mengalir terkenangkan arwah

Air mata mengalir terkenangkan arwah

RANTAU PANJANG - "Paling sukar sehari lepas arwah tiada, tidak semena-mena air mata mengalir," kata bapa allahyarham Izatul Akma, Wan Ibrahim Mat Daud, 60.

Katanya, keadaan bertambah sukar jika dia bersendirian kerana saat itu dia mula teringatkan arwah.

Kesibukan melayan tetamu berjaya mengalih pandangannya daripada melayan perasaan sedih namun katanya, dia sekali lagi tidak mampu menahan tangisan ketika di tikar sejadah.

"Saya reda dengan pemergiannya tapi saya juga manusia biasa, tak mampu menyekat perasaan lebih-lebih lagi jika menatap wajah tiga cucu dan menantu.

"Saya kuatkan semangat demi mereka, apatah lagi ketika anak sulung arwah, Nur Aina Damia yang berusia tujuh tahun bertanya sama ada bapanya sudah meninggal dan berada di syurga," katanya selepas kunjungan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Datuk Muhamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Muhamad Rizam berkata, walaupun peristiwa lemas membabitkan enam anggota bomba sudah melepasi tiga hari, namun ia memberi impak yang cukup kuat.

Malah katanya, beliau menzahirkan kesedihan di atas kejadian yang menimpa keluarga anggota bomba di sini.

"Saya lega selepas mendengar taklimat berhubung kebajikan yang akan diterima oleh isteri dan tiga anak allahyarham.

"Bidang pendidikan antara aspek terpenting memandangkan tiga anak allahyarham masih kecil," katanya.

Izatul Akmal yang juga bapa kepada tiga anak, antara enam anggota yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat seorang pemuda yang terjatuh dalam lombong Taman Putra Perdana, Puchong tiga hari lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Enam anggota bomba lemas di lombong]



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment