PKR nafi PH Perak ada masalah
IPOH - PKR Perak menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Harapan Perak berantakan.
Ketua Penerangannya, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, tuduhan kononnya berlaku perselisihan faham dalam kalangan komponen parti Harapan di negeri ini tidak berasas.
Katanya, perkara itu hanya bersifat mahu menimbulkan persepsi yang tidak sihat dalam kalangan rakyat dan pendokong Harapan Perak.
"PH Perak kini komited untuk terus bekerja bagi melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Bagi saya apa jua yang dimaksudkan oleh mana-mana pihak adalah sebagai satu andaian yang mahu menjatuhkan kredibiliti kepimpinan PH Perak terutamanya menteri besar.
"PH Perak serba maklum soal amanah dan tanggungjawabnya yang diberikan rakyat kepada mereka dan pastinya keseluruhan kepimpinan mahu bekerja sebaiknya dalam usaha untuk melaksanakan janji-janji pilihanraya yang telah dibuat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar bahawa kerajaan Perak sedang bergolak.
Dalam perkembangan sama, Siti Aishah mengakui semua parti politik yang bertindak sebagai satu gabungan mempunyai masalah tersendiri tetapi dalam konteks di Perak ia tidak yang dimaksudkan.
Sementara itu, beliau turut memberikan peringatan kepada pihak tertentu yang cuba merosakkan kerajaan sedia ada supaya menghentikan sebarang usaha itu.
"Saya memperingatkan kepada mana-mana pihak yang cuba untuk menjejaskan kerajaan yang sedia ada ini agar berfikir dua kali kerana rakyat bukan lagi mereka yang tidak bijak dalam mentafsir
sesuatu perkara.
"Semoga dengan segala bentuk tuduhan ini akan memberikan lagi kekuatan dan semangat berpasukan kepada PH Perak agar terus bekerja serta menjalankan tanggungjawab yang sedia ada," katanya. Siti Aishah berkata, PKR Perak tegas menyokong kepimpinan sedia ada di bawah pentadbiran Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment