MB Kelantan minta pertahankan keharmonian negara

Thursday, August 30, 2018

MB Kelantan minta pertahankan keharmonian negara

MB Kelantan minta pertahankan keharmonian negara

KOTA BHARU - Segala anasir dan perbuatan yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat dan keamanan negara hendaklah dibendung dengan tegas, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, kini terdapat pelbagai gerakan pemikiran yang songsang dan menyalahi norma kemanusiaan yang semakin berani untuk menyebarluaskan fahaman mereka.

"Perkara ini harus dibendung bagi mempertahankan keharmonian dalam negara Malaysia yang tercinta.

"Erti kemerdekaan seharusnya difahami dengan lebih meluas iaitu bukan sahaja memerdekakan tanah air daripada penjajahan fizikal, tetapi melibatkan penjajahan minda dan pemikiran," katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan di sini, malam ini.

Selain itu katanya, ‘Sayangi Malaysiaku’ yang menjadi tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini wajar dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa jua bangsa, agama dan etnik dengan saling menghormati serta berganding bahu demi membangunkan negara dan masyarakat.

"Saya mengharapkan, segala usaha bagi memartabatkan agama Islam dan memperkasakan pelaksanaan hukum syariah disokong dan didokong sepenuhnya sebagai memenuhi hak agama Islam sebagai agama Persekutuan tanpa dinafikan hak agama lain untuk diamalkan secara aman.

"Saya juga ingin menyeru rakyat Kelantan secara khusus supaya mengambil semangat kemerdekaan ini untuk dijadikan pemangkin bagi berusaha memerdekakan diri daripada sikap buruk dan perbuatan yang menyalahi ajaran agama dan undang-undang," katanya. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment