ISS alami kebocoran udara

Thursday, August 30, 2018

ISS alami kebocoran udara

ISS alami kebocoran udara

HOUSTON - AMERIKA SYARIKAT. Angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), semalam berdepan kebocoran udara dipercayai berpunca daripada satu insiden pelanggaran dengan objek angkasa lepas.

Perkara itu disahkan selepas terdapat lubang kecil pada kapsul yang digunakan untuk membawa kru baharu ke makmal yang terletak 400 kilometer dari bumi pada Jun lalu.

Kerosakan itu disebabkan oleh impak daripada serpihan batu yang terbang laju.

Pengawal misi di Houston, Texas dan Moscow bagaimanapun mengesahkan keadaan itu tidak mencetuskan sebarang bahaya kepada enam kru di stesen angkasa terbabit.

"Terdapat keadaan yang tidak normal pada waktu tengah malam dan pagi yang mana tekanan menurun akibat kebocoran oksigen. Jurutera reka bentuk percaya ia adalah disebabkan oleh mikrometeorit ," kata Ketua Agensi Angkasa Persekutuan Rusia, Roscosmos, Dmitry Rogozin.

Difahamkan, pembaikan segera telah dibuat menggunakan bahan kedap dan pita untuk menutup diameter lubang tersebut itu yang berukuran 2 milimeter.

Angkasawan kini sedang bekerjasama dengan jurutera di bumi untuk menilai sama ada pembaikan lebih berkesan diperlukan. - BBC  



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment