Pengunjung tak selesa beriadah

Friday, August 31, 2018

Pengunjung tak selesa beriadah

Pengunjung tak selesa beriadah

PENDANG -  Pusat riadah di Tasik Pendang menjadi lokasi pilihan mat rempit untuk berlumba sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pendang (MDP), Zaid Ahmad berkata, kehadiran golongan itu yang mencecah hampir 100 orang menggangu orang awam yang lain untuk beriadah.

Katanya, selain membuat bising, golongan mat rempit ini turut didakwa mengganggu laluan di kawasan berkenaan.

"Kita sangat risau akan risiko keselamatan pengunjung yang beriadah di Tasik Pendang kerana terdedah kepada aktiviti mat rempit ini," katanya.

Menurut Zaid, kawasan ini menjadi tumpuan mat rempit terutama pada hari cuti dan waktu petang.

"Mereka memilih kawasan ini kerana lokasinya yang sesuai untuk mereka berkumpul.

"Mereka seolah-olah mempunyai sikap ingin menunjuk aksi dan kebolehan kepada orang awam yang berada di situ," katanya.

Zaid berkata, aktiviti menaiki kereta kuda yang menarik ramai peminat juga terpaksa dihentikan.

"Kuda-kuda yang digunakan untuk pengunjung bertindak agresif kerana sering terkejut dengan deruan enjin motosikal mat rempit dan ini membahayakan," katanya.

Tambah Zaid, pihak MDP telah mewujudkan bonggol pada jalan bagi menghalang kelajuan penunggang motosikal.

"Kita juga dah maklumkan kepada polis untuk tindakan terhadap mereka yang terlibat.

"Namun begitu, golongan mat rempit ini tidak pernah serik meskipun ada dalam kalangan mereka yang pernah dikenakan hukuman undang-undang," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment