Dari mana sumber Jho Low bayar peguam Trump, bekas gabenor?

Thursday, August 30, 2018

Dari mana sumber Jho Low bayar peguam Trump, bekas gabenor?

Dari mana sumber Jho Low bayar peguam Trump, bekas gabenor?

NEW YORK - Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memperhebatkan siasatan ke atas Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, bagi menentukan sama ada dia menyalurkan puluhan juta dolar menerusi dua kenalan bagi membiayai pasukan peguamnya.

Pasukan peguam Jho Low termasuk bekas gabenor New Jersey, Chris Christie dan seorang peguam yang pernah mewakili Presiden Donald Trump.

Perkembangan terkini itu dilaporkan Wall Street Journal (WSJ) pada Rabu menerusi laporan berterusannya berhubung tuduhan jutawan berusia 37 tahun itu, menggelapkan US$4.5 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

WSJ turut memetik laporan pihak berkuasa Malaysia bahawa Jho Low dituduh melakukan jenayah penggubahan wang haram berhubung kes 1MDB, kes yang dianggap skandal kewangan terbesar dalam sejarah, memerlukan siasatan secara global.

Jho Low dilaporkan cuba mengelak daripada ditahan dan sejak beberapa bulan lalu dikatakan bersembunyi di Hong Kong, Macau dan Tanah Besar China.

Pada tahun lepas dan Julai 2016, Jabatan Kehakiman AS memfailkan tindakan undang-undang sivil di mahkamah persekutuan California untuk mendapatkan semula aset Jho Low, termasuk rumah mewah, karya seni dan kapal layar yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB. Kes beliau yang turut mempunyai aset di AS, kini menjadi tumpuan dalam siasatan jenayah antarabangsa.

Sejak menjadi buruan pada 2016, urusan perbankannya juga telah disekat.

Bagaimanapun, tiada petunjuk terdapatnya mana-mana pihak yang menerima bayaran menyedari bahawa duit itu milik Jho Low yang didakwa diperolehi daripada sumber 1MDB.

Siasatan Jabatan Kehakiman juga dikatakan tertumpu kepada dua perantara yang digunakan bagi memudahkan urusan pembayaran menerusi sistem kewangan antarabangsa, namun jabatan itu enggan mengulas lanjut mengenainya.

Christie, seorang daripada peguam dan perunding untuk Jho Low, mengetuai pasukan peralihan kempen pilihan raya Trump. Pegawai lain termasuk peguam Trump, Marc Kasowitz, Bobby Burchfield yang menjadi penasihat etika Pertubuhan Trump, dan Ed Rogers, pelobi Washington yang akrab dengan Parti Republikan.

Beliau mewakili Jho Low dalam kes rampasan aset  jutawan itu di California, lapor WSJ yang turut memetik kenyataan seorang pegawai Christie sebagai berkata, beliau tidak pernah berunding dengan mana-mana pejabat kerajaan Amerika bagi pihak Jho Low. Malah Jabatan Kehakiman Amerika dan Christie juga tidak berkomunikasi berkaitan siasatan lain membabitkan pembayaran itu.

Jurucakap firma guaman Kasowitz Benson Torres yang berpangkalan di New York mengesahkan kepada WSJ bahawa firma itu turut mewakili Jho Low dalam kesnya dengan Jabatan Kehakiman Amerika.

"Sama seperti anak guam lain, tugas kami di sini adalah bagi mewakili dan menjaga kepentingan anak guam, dan dibayar untuk semua khidmat guaman yang diberikan," kata jurucakap firma itu menerusi kenyataan kepada WSJ.

Menerusi email yang dihantar kepada WSJ, Burchfield berkata, Jho Low mengupah firmanya, King & Spalding yang berpangkalan di Atlanta, untuk memberi nasihat guaman berhubung siasatan yang sedang berlangsung dan firma itu melakukan siasatan sewajarnya ke atas sumber wang yang diterima.

"Selain itu, saya dan King & Spalding tidak berhubung dengan sebarang entiti kerajaan baik secara langsung atau tidak langsung bagi pihak Jho Low dan Jabatan Kehakiman juga tidak mengemukakan pertanyaan berhubung perkara ini."

Akhbar itu juga melaporkan Jabatan Kehakiman Amerika turut menyiasat sama ada  ahli perniagaan Thailand, Phengphian Laogumnerd dan bekas artis rap Amerika, Pras Michel yang menubuhkan kumpulan hip hop Fugees, membuat bayaran bagi pihak Jho Low.

WSJ memetik kenyataan mereka yang arif dengan siasatan itu sebagai berkata, sekurang-kurangnya hampir setahun Jho Low bergantung kepada Phengphian untuk membayar perbelanjaan penginapannya di Hong Kong dan Macau, bil guaman dan bayaran menyelengara kapal persiaran Equanimity yang berharga AS$250 juta sebelum kapal mewah itu dirampas pihak berkuasa Indonesia di perairan Bali.

Penyiasat Jabatan Kehakiman Amerika sedang meneliti rekod dan aliran tunai syarikat-syarikat milik Phengphian di Hong Kong dan pusat kewangan luar pesisir di British Virgin Islands, bagi menentukan sama ada wang Jho Low turut digunakan, lapor akhbar itu. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment