Khidmat guru Kafa dikekalkan

Friday, August 31, 2018

Khidmat guru Kafa dikekalkan

Khidmat guru Kafa dikekalkan

PASIR PUTEH - Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) diberi jaminan perkhidmatan mereka dikekalkan dengan kaedah kontrak setahun ke setahun seperti yang dipraktikkan sebelum ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamaruddin Mohd Nor berkata, Bersatu sendiri akan mempertahankan jika ada mana-mana pihak cuba menamatkan khidmat guru Kafa.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, apa yang baik di zaman BN kita kekalkan dan Kafa ini penting untuk memberi pendidikan awal.

"Jangan percaya dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan khidmat guru Kafa akan ditamatkan kerana negara kini diterajui PH," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Guru-guru Kafa di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut di sini, semalam.

Program membabitkan lebih 300 guru Kafa itu turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah, Harun Yusof.

Kamaruddin berkata, guru-guru Kafa hanya perlu menumpukan perhatian kepada agenda mendidik murid tanpa rasa bimbang dengan kedudukan mereka selepas kerajaan BN tewas.

"Tapi kena ingat, perkhidmatan bergantung kepada prestasi kita sendiri yang dinilai dari semasa ke semasa bagi membolehkan kontrak disambung ke tahun-tahun seterusnya," katanya.

Beliau berkata, maklumat salah mengenai kerajaan PH yang disebarkan di laman sosial akhir-akhir ini hanya menambahkan kekeliruan rakyat.

Justeru katanya, rakyat mesti bijak menilai mana berita yang benar dan palsu serta tidak terlalu cepat mempercayai setiap perkara yang dikongsikan.

"Kerajaan PH berusaha mentadbir negara ini sebaik mungkin. Setiap agenda yang baik dan bermanfaat wajar  disokong rakyat," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment