Saya tidak pernah diam : Yasin Sulaiman

Friday, August 31, 2018

Saya tidak pernah diam : Yasin Sulaiman

Saya tidak pernah diam : Yasin Sulaiman

SUATU ketika dahulu nama Yasin Brothers atau juga dikenali dengan nama Yasin Sulaiman cukup dikenali ramai lantaran kehebatannya dalam menghasilkan lagu-lagu berentak "world music" dan meniti populariti tersendiri pada  awal tahun 2000.

Bahkan kredibilitinya tidak boleh dipertikaikan lagi apabila lagu-lagu yang dihasilkannya memenangi Anugerah Juara Lagu sebanyak dua kali.

Namun entah kenapa, sejak 10 tahun lalu, karier seninya  agak suram namun, dia yang sudah menghambakan diri dalam bidang seni lebih 20 tahun tidak pernah patah

semangat untuk bangkit semula dengan menerbitkan karya-karya baru yang lebih segar.

Jelas figura berusia 43 tahun ini, dunia seni sudah sebati dalam dirinya lantaran itu dia menganggap apa yang berlaku dalam masa 10 tahun itu adalah satu ujian dan dugaan yang memberi kekuatan kepadanya untuk terus bermuhasabah diri serta memperbaiki kelemahannya.

"Hidup ini adalah perjuangan  jadi saya mesti bangkit semula dan alhamdulillah ramai rakan-rakan memberikan sokongan sehingga lahirnya album solo terbaru saya di bawah label Warner Music.

"Album itu menampilkan sembilan lagu baru ciptaan saya sendiri dan sebagai strategi pemasaran, syarikat rakaman merancang untuk memperkenalkan semua lagu itu satu persatu.

"Single pertama dan kedua yang dipertaruhkan berjudul Hidup! dan Ya Zhaljud.

"Malah saya ketepikan soal persaingan kerana apa yang penting saya mahu terus berkarya dan memberikan yang terbaik kepada peminat. Lagipun album berkonsepkan ketuhanan, lagu dan liriknya bersesuaian sepanjang  zaman," katanya.

Yassin

 

Biarpun ada ketika khabarnya mengenai dirinya agak kurang dipaparkan dalam media, Yasin terus bergerak cergas menghasilkan karya-karya baru untuk rakan artis lain.

"Saya tidak pernah diam dan saya akan terus berkarya," katanya.

Berkongsi perkembangan lainnya, Yasin berkata pada 15 September ini, dia akan membuat persembahan dan menyertai Larian Merdeka 2018 (Merdeka Night Run) anjuran Syarikat Oriental Businesslink Events & Media Sdn Bhd dengan kerjasama Permodalan Guru Malaysia serta  disokong oleh Kementerian Belia Dan Sukan.

Katanya, dia sudah lama tidak 'berlari' dan penyertaannya itu bukanlah untuk menang tetapi sekadar memeriahkan.

"Menariknya larian itu diadakan pada sebelah malam yang memberikan suasana yang lebih relaks.

"Larian itu yang terbuka kepada semua bangsa dan peringkat usia, boleh menjadi platform untuk merapatkan hubungan rakyat Malaysia.

"Lagipun bersukan boleh menyatupadukan masyarakat dan dengan pembabitan ramai artis pada hari larian itu nanti, diharapkan dapat memberi inspirasi kepada peminat untuk turut serta," katanya.

Antara artis lain yang menyertai larian itu, XPDC, Tunku Anis, Ropi, Watie Elite, Joey, Beego, Linda, Keena Mentor, Alif AF, Nas Adilla, Siraj Alsagoff, Rizal Kilauan Mas, Nas Kilauan Mas, Zarina Raja Lawak, Munir Phyne Ballers dan Abam Bocey.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga menyertai larian tersebut.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment