#MYCYBERSALE 2018 acara beli-belah atas talian terbesar

Thursday, August 30, 2018

#MYCYBERSALE 2018 acara beli-belah atas talian terbesar

#MYCYBERSALE 2018 acara beli-belah atas talian terbesar

KUALA LUMPUR - #MYCYBERSALE 2018 dijangka menjadi acara membeli-belah atas talian terbesar dengan penyertaan lebih 1,200 peruncit yang menawarkan produk dan perkhidmatan dalam lebih dari 20 kategori.

Dari jumlah tersebut, sebanyak 70 peruncit adalah dari kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Bermula 3 September hingga 7 September, #MYCYBERSALE 2018 diterajui oleh Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom) dan disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Peruncit #MYCYBERSALE menyediakan tawaran-tawaran menarik dan produk pada harga yang murah. Ini adalah masa paling sesuai untuk menikmati tawaran percutian, gajet kegemaran, membeli-belah untuk hadiah percutian atau pesta akhir tahun,” kata Pengerusi Pikom, Ganesh Kumar Bangah.

Katanya, pihaknya yakin sasaran jumlah dagangan kasar sebanyak RM370 juta akan berjaya dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood memuji langkah Pikom untuk meneraju #MYCYBERSALE 2018 untuk tahun kedua berturut-turut.

“#Mycybersale diperkenalkan MDEC pada tahun 2014 dan kami berbangga untuk terus menyokong lebih banyak PKS mengambil tempat mereka di platform eDagang dan meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar dalam eDagang,” kata Yasmin.

Antara jenama serantau dan antarabangsa yang mengambil bahagian adalah Lazada, Shopee, Shopback, 28Mall, Malaysia Airlines Berhad, Qoo10, Hermo, Shopback, Coca Cola, Mead Johnson dan Unilever.

Malah, lebih 600 peruncit bersedia untuk memenuhi penghantaran ke China, Emeriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, beberapa negara di Eropah dan di Asia Tenggara.

Acara #MYCYBERSALE yang memasuki tahun kelima ini berjaya mengumpul lebih 1,007 peruncit dan menjana jumlah dagangan kasar sebanyak RM311 juta pada 2017.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment