Melaka kaji semula penubuhan Jawatankuasa Warisan

Thursday, August 30, 2018

Melaka kaji semula penubuhan Jawatankuasa Warisan

Melaka kaji semula penubuhan Jawatankuasa Warisan

MELAKA - Kerajaan negeri akan mengkaji semula penubuhan Jawatankuasa Warisan yang bertujuan memelihara sejarah dan warisan negeri itu sebagai Bandar Warisan Dunia yang diisytiharkan oleh Unesco.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata jawatankuasa berkenaan sebelum ini ditubuhkan hanya di atas kertas dan tidak berfungsi melaksanakan usaha memelihara warisan dan sejarah negeri, malah tiada rancangan penambahbaikan serta mendapatkan modal untuk tujuan berkenaan.

"Jawatankuasa ini sangat penting untuk Melaka bagi memastikan usaha memelihara dan memulihara bangunan atau aset sejarah serta warisan negeri dapat dilaksanakan untuk jangka panjang.

"Banyak aspek yang perlu diberi perhatian dalam isu ini kerana untuk mengekalkan kedudukan atau pengiktirafan sebagai Bandar Warisan Dunia  bukan mudah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tenaga pakar dalam bidang warisan dan sejarah telah dikenal pasti untuk turut serta dalam Jawatankuasa Warisan bagi mengenal pasti masalah atau isu dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang dan negara lain yang turut diiktiraf Unesco untuk berkongsi, bertukar idea dan pandangan dalam aspek menambah baik bahan atau aset warisan serta sejarah negeri.

Sementara itu, Adly berkata satu jawatankuasa khas telah diwujudkan untuk memuktamadkan keputusan kerajaan negeri sama ada untuk mengambil alih pengurusan Zoo Melaka and Night Safari atau meneruskan penswastaan produk pelancongan negeri itu.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu akan diketuai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Tey Kok Kiew dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Muhammad Jailani Khamis.

"Ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian dan pertimbangan termasuk perjanjian dengan pihak swasta dan masa depan zoo tersebut dan aspek penyelenggaraan yang agak lemah," katanya. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment