10 000 sertai sambutan ambang kemerdekaan

Thursday, August 30, 2018

10 000 sertai sambutan ambang kemerdekaan

10 000 sertai sambutan ambang kemerdekaan

SHAH ALAM - Kira-kira 10 000 rakyat Malaysia membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi bersama-sama meraikan sambutan ambang kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 Peringkat Negeri Selangor.

Program bermula seawal jam 9.00 malam tadi turut dipenuhi pelbagai acara penuh warna warni antaranya perbarisan dan perarakan kontinjen, persembahan kesenian dan kebudayaan, pertunjukan khas daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebanyak 62 kontinjen telah mengambil bahagian membuat persembahan termasuk tiga kontinjen ATM dan satu kontinjen Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Beberapa pimpinan kerajaan negeri turut hadir ke program berkenaan termasuk Menteri Besar, Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya serta Speaker Dewan Negeri, Ng Suee Lim.

Kesemua yang hadir turut bersama-sama mengira ketibaan detik jam 12.01 malam, disusuli laungan 'merdeka' sebanyak tujuh kali, simbolik bagi sambutan kemerdekaan ke-61.

Langit Shah Alam kemudiannya diserikan dengan dengan pertunjukan bunga api yang penuh warna-warni sebagai kemuncak sambutan.

Sementara itu, Amirudin ketika berucap menyifatkan tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’, adalah manifestasi semangat rakyat Malaysia pasca 9 Mei 2018.

Katanya, peralihan kuasa pentadbiran negara sejak PRU14 lalu adalah bukti betapa rakyat sayang dan cintakan negara ini.

"Keamanan yang dinikmati selama 61 tahun ini kemudiannya dilakari pula dengan kejayaan menukar rejim kleptokrat pada Mei yang lalu seolah-olah kita memperoleh kemerdekaan kali kedua.

"Kejayaan membebaskan Malaysia daripada regim korup adalah bukti kesepakatan rakyat Malaysia yang cintakan negara dan bangsa.

"Alhamdulillah, peralihan kuasa yang berlaku dengan aman dan sejahtera itu, kini menjadi buah mulut seantero dunia. Dari Washington DC, London, Beijing dan New Delhi memperkatakan iltizam rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dan yang menakjubkan, memastikan transisi kuasa berlaku secara aman tenteram.

"Malaysia adalah saksi serta kisah sukses (success story) kepada demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia," katanya.

Selain itu, beliau turut menyeru rakyat dan seluruh saf kepimpinan peringkat negeri untuk terus bersama-sama mengekalkan kemakmuran Selangor.

"Sesungguhnya dalam melaksanakan prinsip dan dasar pentadbiran negeri, saya memerlukan saf kepimpinan dan rakyat yang utuh dan jitu.

"Berasaskan prinsip ‘Maju Bersama’, saya mengajak saf kepimpinan kerajaan negeri bersama-sama menggembleng dan berpadu tenaga dengan rakyat negeri Selangor supaya negeri ini kekal aman dan makmur," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment