Pingat emas hadiah Jijoe sempena Hari Kebangsaan

Thursday, August 30, 2018

Pingat emas hadiah Jijoe sempena Hari Kebangsaan

Pingat emas hadiah Jijoe sempena Hari Kebangsaan

JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menyumbang pingat emas kelima kepada kontinjen negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, di sini, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu, bagaimanapun menerima tentangan sengit daripada pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya dalam dua perlumbaan penentuan pingat emas acara pecut individu lelaki, sebelum melakar kejayaan bermakna tersebut.

Lebih manis, pelumba yang dikenali dengan panggilan 'Jijoe' itu menamatkan penantian 16 tahun sejak Josiah Ng meraih pingat perak dalam acara berkenaan pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

Ia merupakan pingat peribadi kedua yang diraih Mohd Azizulhasni pada Sukan Asia 2018 selepas memenangi perak bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis dalam acara pecut berpasukan lelaki pada hari pembukaan berbasikal trek, Isnin lepas.

Mohd Azizulhasni yang ditemui media Malaysia selepas majlis penyampaian pingat teruja kerana menamatkan penantian skuad berbasikal negara untuk memenangi acara berkenaan dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hadiah terbaik sempena Hari Kebangsaan negara yang akan disambut esok.

"Perlumbaan hari ini bukan mudah seperti yang anda saksikan di televisyen kerana acara ini amat tegang kerana banyak muslihat dan ‘game plan’.

"Saya lebih memberi tumpuan kepada taktikal perlumbaan dan aspek psikologi untuk memberi tekanan kepada pihak lawan dan saya lihat strategi ini berhasil," kata Mohd Azizulhasni yang memotong misainya sejurus majlis penyampaian pingat sebagai gimik kejayaannya memenangi acara berkenaan.

Pada masa yang sama, Mohd Azizulhasni menyasarkan untuk meraih emas kedua dalam acara kegemarannya, keirin, esok namun tidak memandang rendah keupayaan pelumba lain yang turut memburu kemenangan dalam acara berkenaan.

"Untuk acara keirin, sudah tentu saya mahu menang tapi acara ini sangat taktikal dan macam-macam boleh berlaku termasuk pelumba terbaik pun boleh tersingkir seawal pusingan pertama perlumbaan dan sasaran saya adalah melayakkan diri ke final terlebih dahulu”, kata Mohd Azizulhasni yang menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara pecut pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyaksikan perlumbaan berkenaan, turut memuji persembahan cemerlang yang ditampilkan Mohd Azizulhasni yang menyumbang emas kelima negara dan yakin kontinjen negara mampu mencapai sasaran tujuh pingat emas.

"Insya-ALLAH, saya yakin Mohd Azizulhasni dapat menyumbang satu lagi pingat dalam acara kegemarannya, keirin esok.

"Kita ada beberapa acara lagi yang boleh menyumbang pingat emas seperti pelayaran dan skuasy berpasukan", kata Syed Saddiq.

Terdahulu, Muhammad Shah Firdaus gagal dalam misinya untuk meraih pingat gangsa dalam acara berkenaan setelah tewas 1-2 dalam tiga pusingan perlumbaan penentuan pingat gangsa kepada pelumba Korea Selatan, IM Chae-bin. - Bernama
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment