Larian untuk si comel

Monday, August 27, 2018

Larian untuk si comel

Larian untuk si comel

KUCING merupakan salah satu haiwan peliharaan yang sangat digemari dan disayangi ramai. Salah seorang perawi hadis termasyhur, Abdurrahman Shakhr Ad-Dausi, diberi gelaran Abu Hurairah yang membawa maksud “bapa kucing” kerana beliau begitu sayangkan kucing, seperti juga rasul tercinta, Nabi Muhammad SAW, yang begitu menyayangi kucing.

Baru-baru ini, saya berjumpa dengan sahabat lama untuk sesi minum teh. Pelbagai perkara menjadi topik perbincangan, daripada sukan kepada ekonomi, politik, hinggalah topik haiwan kegemaran, kucing.

Macam-macam perkara berkenaan kucing diperkatakan, termasuklah tentang kebolehan kucing masing-masing dan makanan yang diberi kepada kucing. Ada yang menggaulkan nasi dengan ikan rebus atau ikan goreng untuk diberi kepada kucing dan ada juga yang memberikan lebihan lauk pauk atau sengaja tidak menghabiskan lauk, terutamanya ikan, agar ada habuan untuk kucing peliharaan mereka.

Bagi sahabat saya dan saya, kami lebih senang memberi makanan kucing yang dibeli di pasar raya kerana mudah untuk diuruskan. Lagipun sudah ada pelbagai jenis pilihan yang boleh didapati. Makanan kucing sekarang terdapat dalam berbagai-bagai perisa dan bentuk agar si comel tidak berasa jemu.

Rupa-rupanya, kami sering membeli jenama makanan kucing yang sama, iaitu Powercat, satu-satunya jenama makanan kucing yang dihasilkan oleh bumiputera di Malaysia dan diyakini kesucian dan kehalalannya.

Barulah saya tahu bahawa Powercat yang mula dikeluarkan pada tahun 2014 merupakan jenama syarikat subsidiari Adabi, pengeluar produk makanan dan rempah ratus terkemuka di Malaysia. Ia satu-satunya jenama makanan kucing tempatan yang menawarkan tahap kualiti yang tinggi, setaraf dengan jenama-jenama makanan kucing antarabangsa, dengan menggunakan teknologi moden di kilangnya yang terletak di Rawang.

Kilang Powercat bukan sahaja terdapat di Malaysia tetapi juga di Indonesia dan mereka bakal beroperasi di China, Filipina dan seluruh Asia Tenggara.

Powercat turut bergiat secara aktif dalam menaja dan membantu tempat perlindungan kucing di seluruh Malaysia. Selain makanan kucing, mereka akan mengeluarkan produk penjagaan kucing yang berasaskan bahan-bahan organik dan bermutu tinggi bagi memenuhi kehendak pelanggan yang kini lebih mementingkan kualiti dan kepelbagaian. Siapa kata syarikat bumiputera tidak mampu menandingi syarikat antarabangsa?

Sedang asyik bersembang, sahabat saya mengajak saya untuk turut menyertai larian Super Meow Run 2018, anjuran bersama syarikat Powerpets Food Sdn Bhd, pengilang dan pengeluar Powercat, dan NM Galaxy Sdn Bhd.

Dia telah bersama 600  peserta lain di Powercat The Meow Run 2017 yang diadakan pada bulan Mei 2017 di Stadium UPM, Serdang. Tahun ini, larian yang sama akan diadakan di Suria Mall, Putrajaya pada 2 Disember 2018 dengan sasaran 3,000 peserta.

Menurutnya, pendaftaran atas talian telah dibuka pada 26 Julai 2018 di www.racexasia.com dan selepas 3 minggu, berjaya menarik 3,107 peserta. Berdasarkan sambutan yang menggalakkan, sasaran jumlah peserta telah diubah kepada 4,000 dan akan diubah lagi jika pendaftaran penyertaan terus meningkat.

Apa yang menariknya larian ini jika dibandingkan dengan acara larian lain sehingga mendapat sambutan yang begitu hangat? Menurut sahabat saya, yuran penyertaannya murah dan sangat berbaloi. Peserta akan diberikan kemeja-T eksklusif serta medal penamat yang sangat comel.

Mereka yang mendaftar empat orang sekali gus pula akan dapat menyertai larian dengan bayaran yuran yang lebih murah. Sangat sesuai untuk larian sekeluarga.

Larian ini terbahagi kepada dua kategori umum, 6 tahun dan ke atas (5 km) serta 12 tahun dan ke atas (8 km). Yang lebih menarik perhatian saya sebenarnya adalah kesungguhan syarikat ini untuk membantu kucing-kucing terbiar dengan program CSR mereka.

Memang kita boleh lihat banyak kucing terbiar yang perlu dibantu atau dipelihara. Larian ini adalah untuk menimbulkan kesedaran awam di samping menggalakkan peminat-peminat kucing mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Bagi peminat kucing di luar sana, atau peminat larian, bolehlah menyertai acara ini untuk menyihatkan badan sambil meraikan si comel pada 2 Disember akan datang di Suria Mall, Putrajaya. Anda boleh menjadikannya salah satu agenda percutian hujung tahun bersama keluarga.

*Penulis adalah pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment