JKM beri kaunseling kepada ibu bapa bayi

Monday, August 27, 2018

JKM beri kaunseling kepada ibu bapa bayi

JKM beri kaunseling kepada ibu bapa bayi

SEREMBAN - Ibu bapa bayi berusia empat bulan yang dilaporkan kritikal selepas tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pengasuh diberi kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai sokongan moral kepada pasangan terbabit.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, pasangan itu terdesak mencari pengasuh berikutan tuntutan kerja sebagai jururawat dan pekerja kilang.

“Kaunselor JKM sudah berjumpa dengan ibu bapa bayi Muhammad Ummar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz pada Jumaat lalu untuk beri sokongan moral dan kekuatan menghadapi kejadian yang berlaku.

“Ibunya bekerja sebagai jururawat terdesak cari pengasuh kerana bekerja secara syif dan bapanya yang kerja kilang juga begitu. Mereka mengenali pengasuh yang tidak menerima apa-apa latihan daripada Facebook ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Muhammad Ummar Zayyan yang turut dihadiri Pengarah JKM, Mohamad Hapil di Unit Rawatan Rapi Peditrik (PICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun bukan sahaja ibu bapa malah bayi itu kini juga berada dalam keadaan stabil.

“Melihat kesulitan dihadapi mereka, saya cadangkan HTJ sediakan taska seperti saranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyasarkan semua agensi kerajaan wujudkan taska di tempat kerja menjelang Januari 2019,” katanya.

Sementara itu, Nicole mencadangkan supaya kerajaan perkenalkan peraturan baharu iaitu mewajibkan setiap pengasuh persendirian melalui ujian psikologi dan membuat saringan rekod jenayah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku membabitkan anak asuhan.

“Setiap pengasuh di rumah sepatutnya mengikuti Kursus Asuhan Permata selain memaklumkan kepada JKM daerah. Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memilih pengasuh atau taska yang hanya berdaftar dengan JKM

Tapi, bagi saya akta sedia ada perlu digubal dan sebab itu saya syorkan kerajaan supaya tambah baik dengan memasukkan peraturan baru ini,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, polis akan memanggil dan merekodkan keterangan jiran yang tinggal berhampiran kediaman pengasuh itu di Mambau untuk bantu siasatan.

“Keterangan ibu dan bapa bayi terbabit sudah diambil dan kita akan memanggil jiran pengasuhnya pula dalam masa terdekat. Kita mahu tahu jika mereka mendengar atau mengetahui sebarang insiden mencurigakan.

“Selain itu, tumpuan siasatan ketika ini adalah untuk menentukan apa yang berlaku kepada bayi terbabit berpunca daripada diketuk, terjatuh atau perkara lain. Buat masa ini, masih terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Sabtu lalu, media melaporkan bayi lelaki berkenaan kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di sini, 20 Ogos lalu.

Kelmarin, pengasuh berusia 23 tahun itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment