Imran Khan tetapkan visi 'Pakistan baharu'

Sunday, August 19, 2018

Imran Khan tetapkan visi 'Pakistan baharu'

Imran Khan tetapkan visi 'Pakistan baharu'

ISLAMABAD - PAKISTAN. Perdana Menteri baharu Pakistan, semalam menggesa golongan kaya mula membayar cukai dan mengumumkan akan memulakan langkah penjimatan untuk mengurangkan hutang negara itu.

Jelasnya, kempen itu akan dimulakan dengan menjual kereta kalis peluru disediakan untuk pejabatnya.

Menerusi ucapan pertama beliau, lagenda kriket berusia 65 tahun itu telah menetapkan visi untuk 'Pakistan Baharu' selain berbicara secara panjang lebar tentang  keperluan membentuk semula negara itu dengan memperkenalkan sistem kebajikan Islam, mengurangkan kemiskinan dan kadar hutang yang tinggi.

"Kita telah membentuk tabiat buruk dengan bergantung kepada pinjaman dan bantuan dari negara lain. Tiada negara boleh maju dalam keadaan seperti ini. Kita mesti berdiri di atas kaki sendiri," tegasnya yang mengangkat sumpah jawatan, kelmarin.      

Difahamkan, Khan juga merancang untuk mempunyai dua pembantu berbanding 524 yang diperuntukkan untuk perdana menteri sebelum ini.

"Saya mahu hidup yang biasa. Saya akan menjimatkan wang anda," ujarnya.

Beliau turut meminta rakyat yang berada di luar supaya melabur di negara terbabit dan menggesa orang kaya membayar cukai yang merupakan masalah terbesar di Pakistan di mana  kurang daripada satu peratus penduduk memfailkan cukai pendapatan mereka.

"Adalah menjadi tanggungjawab rakyat membayar cukai untuk kebaikan negara anda," katanya lagi.  

Pemimpin tersebut juga berjanji untuk mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi yang tinggi di Islamabad selain memaklumkan tentang keperluan untuk membantu 22.8 juta kanak-kanak tidak bersekolah.

Akhir minggu lalu, Khan turut menamakan 21 ahli politik berpengalaman yang akan membarisi Kabinet di bawah pimpinan beliau.

Pembangkang bagaimanapun mengkritik pemilihan itu dengan mendakwa sebahagian daripadanya pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Pervez Musharraf. - Press TV



sumber: sinarharian

1 comments:

  1. https://theholidayandtravelmagazine.blogspot.com/2019/12/michelle-obama-and-julie-roberts-visit.html?showComment=1597267696294#c3769881775774791083

    ReplyDelete