HFMD: Johor terkawal, tiada kematian direkod

Friday, August 3, 2018

HFMD: Johor terkawal, tiada kematian direkod

HFMD: Johor terkawal, tiada kematian direkod

JOHOR BAHRU - Penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor melibatkan golongan kanak-kanak masih terkawal dan belum mengakibatkan sebarang kematian sehingga kini.

Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, kenyataan itu sekali gus menafikan terdapat laporan mengenai kematian kanak-kanak dua tahun akibat penyakit itu, baru-baru ini.

Menurutnya, tiada sebarang kematian direkodkan sehingga kini dan sebarang perkembangan lain akan dimaklumkan pihak jabatan sekiranya ia benar berlaku.

“Wabak HFMD di Johor masih terkawal, memang tidak berlaku apa-apa kematian melibatkan kanak-kanak di negeri ini. Ingin diingatkan di sini agar ibu apa tidak mudah panik dan percaya dengan sumber tidak benar.

“Berhubung kematian kanak-kanak berusia dua tahun di Kluang baru-baru ini, ia disebabkan faktor lain yang tidak boleh didedahkan, bukan kerana HFMD,” katanya, di sini, hari ini.

Selahuddeen berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang sebaliknya terus mengamalkan langkah pencegahan bagi memastikan anak-anak mereka terhindar dari penyakit tersebut.

“Diharapnya ibu bapa tidak mudah panik, kerana jabatan sedang melakukan  sedaya yang mungkin untuk memerangi penyakit dan simptom bawaan wabak ini.

“Tetapi langkah pencegahan perlu dilakukan juga, jika sakit atau timbul simptom-simptom penyakit ini, bawa cepat ke hospital untuk diperiksa. Langkah kebersihan juga perlu dititiberatkan,” katanya.

Selain itu, katanya, sehingga kini masih belum ada sekolah mahupun tadika yang telah ditutup berhubung penularan wabak ini.

Bagaimanapun, katanya, ada sekolah yang secara sukarela menutup sekolah mereka selepas mendapati mungkin terdapat gejala HFMD dalam kalangan murid mereka.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment