Gelaran macai politik tidak wajar!

Friday, August 3, 2018

Gelaran macai politik tidak wajar!

Gelaran macai politik tidak wajar!

BUKIT MERTAJAM - Menggelarkan pertubuhan belia sebagai macai politik bukanlah satu kenyataan yang bijak oleh seorang menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan belia di negara ini.

Sedangkan ramai kepimpinan dalam parti kerajaan mahupun pembangkang merupakan mereka yang pernah berjuang, menimba pengalaman dan menabur bakti dalam pertubuhan belia.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan isu ‘macai politik’ dalam persatuan belia.

"Mungkin YB Menteri kurang pengetahuan bahawa ramai pemimpin masa kini berasal daripada pertubuhan belia malah calon PRK Sg Kandis dari parti PKR juga merupakan produk belia di mana beliau merupakan bekas Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di kawasannya.

"Walaupun diakui ramai kepimpinan belia turut terlibat dalam wadah politik baik di pihak kerajaan dan pembangkang, tetapi harus diakui mereka ini semua pandai membezakan warna baju apabila berjuang dalam platform masing-masing," katanya di sini.

Sebelum ini Syed Saddiq dilaporkan berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertekad mahu membersihkan persatuan belia daripada menjadi macai politik kepada kerajaan.

Sementara itu, Hilmi berkata, peranan pertubuhan belia itu haruslah dilihat menyeluruh bukan sekadar hanya beberapa program yang melibatkan acara politik sahaja.

Katanya, lebih molek sekiranya Syed Saddiq memanggil kepimpinan tertinggi setiap pertubuhan belia ini berbincang dahulu dan mengambil maklum akan peranan  mereka sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan atau gelaran hanya berdasarkan pandangan dan nasihat dari beberapa rakan menteri sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muzaidi Mohd Ali berkata, sebagai seorang menteri belia, Syed Saddiq tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Banyak pertubuhan belia di negara ini yang komited membantu kerajaan dalam melahirkan belia yang berdedikasi dan GPMS sendiri telah banyak melahirkan belia yang cemerlang sama ada dari segi akademik dan sahsiah,"katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment