Takaful Ikhlas Berhad sokong Malaysia #QuranHour
GOMBAK - Takaful Ikhlas Berhad menyampaikan tajaan berjumlah RM10, 000 bagi menjayakan Malaysia #QuranHour 1439H yang akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 30 Ogos ini.
Replika cek tersebut disampaikan Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Am Takaful Ikhlas Berhad, Eddy Azli Abidin kepada Pengurus Ikatan Strategik dan Perhubungan Awam, Nurhayati Nordin yang mewakili Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (Wui).
Sebelum itu, Pengurus Latihan & Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Mohd Harfiz Hamzah berkongsi ilmu bertajuk korban dalam sesi tadabbur Surah Al-Maidah ayat 27 dan Surah Al-Hajj ayat 37.
Katanya, ibadah korban adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan meningkatkan sifat takwa dalam diri.
"Dengan melakukan aktiviti sembelihan ini sebenarnya membuatkan kita semakin dekat dengan ALLAH.
"Tanda seseorang itu semakin dekat dengan ALLAH asasnya adalah takwa. Itulah yang dinyatakan dalam Surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud semakin hamba ALLAH itu bertakwa, ALLAH tidak pandang pun tentang lembunya atau sembelihan kerana yang lebih ALLAH pandang adalah nilai yang ada dalam sembelihan itu," katanya kepada Sinar Harian.
Program Korban Titipan Kasih anjuran Takaful Ikhlas Berhad bersama Harian Metro dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSM) bermula seawal jam 7 pagi dengan aktiviti gotong royong menyembelih dan melapah haiwan ternakan korban diikuti dengan memasak untuk hidangan tengah hari.
Program berkenaan diadakan di Masjid Ar-Rahimah di sini, semalam.
Sebanyak 14 ekor lembu dikorbankan dan diagihkan kepada 1,000 kariah masjid.
Di samping itu, pihak Takaful Ikhlas Berhad turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur untuk 40 asnaf.
Hadir sama, nazir Masjid Ar-Rahimah, Abdul Rahman Satam; Timbalannya, Nik Azmi Nik Yacob; Pengarang Eksekutif Projek Khas NSTP, Othman Mamat dan Bendari PSSM, Fizul Md Saad.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment