Sindiket curi kereta tumpas

Sunday, August 19, 2018

Sindiket curi kereta tumpas

Sindiket curi kereta tumpas

PASIR GUDANG - Kejayaan menumpaskan sebuah sindiket curi ken­deraan 7 Ogos lalu mem-bantu Polis Johor menyelesaikan sebanyak 22 kes kehilangan ken­deraan mewah yang dilaporkan di beberapa daerah di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket dipercayai aktif sejak setahun lalu itu ditumpaskan menerusi tangkapan tiga suspek yang diberkas.

Menurutnya, suspek mem­babitkan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 dan 50 tahun ditahan menerusi tiga serbuan berasingan di daerah Johor Bahru Selatan dan Seri Alam.

“Menerusi serbuan itu, polis turut merampas sebanyak 12 kenderaan mewah terdiri daripada lima buah Honda CRV, tiga Honda Civic dan dua buah masing-masing Toyota Vellfire dan Honda Accord yang dilaporkan hilang bukan sahaja di Johor, malah di Selangor dan Kedah.

“Semua kenderaan yang dirampas bernombor pendaftaran tempatan yang dilaporkan hilang. Kamj percaya kesemua kenderaan yang dicuri ini adalah untuk pasaran tempatan,” katanya.

Katanya pada sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seri Alam yang turut dihadiri  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini, semalam.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mensasarkan kenderaan mewah yang diletakkan di tempat letak kereta awan dan perumahan dengan menggunakan peralatan khas.

“Modus operandi sindiket menggunakan alat teknologi khas yang dipercayai diperoleh melalui  pasaran dalam talian untuk me­madam­kan alat penggera ken­deraan sebelum mencurinya.

“Kita juga dapati sindiket ini mempunyai kepakaran dalam membuat kunci pendua selain mencetak cukai jalan palsu untuk diletakkan pada kenderaan yang dicuri,” katanya.

Menurutnya, tiga suspek yang kini ditahan reman itu mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah namun negatif dadah menerusi ujian saringan awal urin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memalsukan dokumen serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barangan curi.

“Kes kecurian kenderaan ter­masuk motosikal dan kereta adalah kes tertinggi yang direkodkan di negeri ini dan kita akan terus berusaha bagi mengekang kes kecurian kenderaan ini daripada terus berlaku.

Menurutnya, Polis Johor juga masih meneruskan usaha mengesan rakan suspek yang masih bebas dan mengesan sekiranya terdapat kenderaan lain yang dicuri,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment