Sambut baik kerjasama pemuliharaan hidupan liar

Sunday, August 19, 2018

Sambut baik kerjasama pemuliharaan hidupan liar

Sambut baik kerjasama pemuliharaan hidupan liar

IPOH - Kerajaan mennyambut baik sebarang bentuk kerjasama dan sumbangan semua pihak dalam membantu melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan hidupan liar.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sentiasa memastikan usaha pemuliharaan hidupan liar dijalankan secara berterusan di samping mengharapkan sokongan semua pihak.

Katanya, antara usaha ke arah pemuliharaan hidupan liar oleh Perhilitan adalah dengan penubuhan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai.

“NWRC sebuah pusat yang menempatkan hidupan liar yang diselamatkan dan yang dirampas dalam pelbagai operasi pengurusan hidupan liar dan penguatkuasaan oleh Perhilitan.

“Pusat ini akan menjalankan fungsinya berasaskan konsep 3R iaitu Rescue (Menyelamat), Rehabilitate (Rehabilitasi) dan Release (Pelepasan),” katanya dalam satu kenyataan di sini sempena perasmian NWRC semalam.

Dr Xavier berkata, pusat tersebut ditubuhkan selaras peruntukan Akta Perdagangan Mengenai Spesies Terancam (Akta 686) dan antara obligasi Malaysia dalam Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Spesies Liar Flora dan Fauna Terancam.   

Katanya, kos keseluruhan pembangunan NWRC yang terdiri daripada tiga fasa dianggarkan kira-kira RM30.3 juta dan rawatan ke atas hidupan liar dijalankan oleh Pegawai Veterinar Perhilitan yang berpengalaman

“Hidupan liar yang telah pulih kemudiannya akan menjalani proses rehabilitasi untuk program pelepasan semula ke habitat yang sesuai.

“Sehingga kini terdapat 103 hidupan liar daripada pelbagai spesies ditempatkan di NWRC terdiri daripada 55 mamalia, 10 reptilia dan 38  burung,” katanya. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment