Pernah cadang pengiring ikut Hishamuddin enam bulan

Saturday, August 25, 2018

Pernah cadang pengiring ikut Hishamuddin enam bulan

Pernah cadang pengiring ikut Hishamuddin enam bulan

KUALA LUMPUR - Pengiring kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien pernah dicadangkan dikekalkan selama enam bulan bagi menjadi pengiring rapat kepada bekas menteri kanan itu.

Menurut sumber, salah satu bahagian dalam Kementerian Pertahanan telah mencadangkan perkara ini kepada Angkatan Tentera (ATM) selepas BN kalah dalam PRU14 lalu.

"Candangan berkenaan dibuat selepas mengambil kira bekas menteri itu pernah terlibat secara langsung dan juga pembuat keputusan dalam aspek keselamatan serta pertahanan negara.

"Kami melihat beliau juga boleh dijadikan acaman atau sasaran kepada musuh walaupun tidak lagi menjawat jawatan menteri,” katanya.

Isu pengiring rapat kepada Hishamuddin mula timbul apabila laporan sebuat portal berita mengatakan tiga daripada anggota tentera yang bertugas dengan beliau tidak kembali ke perkhidmatan walaupun beliau tidak lagi menjadi menteri.

Laporan itu juga mendakwa mereka menerima dua pendapatan bulanan, satu daripada Angkatan Tentera Malaysia dan juga Hishamuddin sendiri.

Laporan berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semalam yang mahukan siasatan terperinci mengenai dakwaan ini disiasat segera.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya berkenaan status cadangan itu, sumber berkata, keputusan rasmi mengenainya belum dibuat Angkatan Tentera Malaysia.

”Kami masih menunggu keputusan mengenai perkara ini,” katanya.

Tambah sumber itu lagi, pihaknya berasakan kawalan keselamatan kepada bekas menteri itu penting untuk tempoh peralihan ini.

"Ada rahsia keselamatan yang beliau juga ketahui, sebab itu cadangan dilakukan," katanya.

Hisshammuddin dilantik menjadi menteri pertahanan sejak 16 Mei 2013, sebelum itu beliau menjawat jawatan sebagai menteri dalam negeri.

Selama beliau menjadi menteri pertahanan, beliau layak menggunakan perkhidmatan pengiring rapat dari kalangan anggota polis dan pasukan khas tentera sendiri.

Difahamkan anggota polis yang mengiringi beliau sebelum ini telah kembali lapor diri ke Unit Pegawai Rendah Polis, Bukit Aman dan kini ditugaskan menjadi pengiring rapat kepada salah sorang menteri yang baharu dilantik dari Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, bekas menteri pertahanan itu juga telah menawarkan pekerjaan kepada tiga bekas pengiringnya yang dipalit kontroversi ini.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, tiga pengiringnya itu harus melepaskan kedudukan daripada ATM dengan kadar segera sekiranya menerima tawaran berkhidmat dengannya.

"Mereka cukup rapat dengan saya sekeluarga dan telah berkhidmat sekian lama. Mereka dengan saya hanya sementara.

"Saya telah menawarkan kerja tetapi jika mereka terima, mereka harus berhenti dari Angkatan Tentera Malaysia dengan serta merta," tulisnya di Twitter.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, beliau dimaklumkan bahawa tiga anggota berkenaan kebetulan menemui bekas bosnya itu sahaja.

”Sudah menjadi kebiasaan kepada pengiring rapat, bila dengan bos, begitulah gayanya.

”Walaupun mereka rapat, tetapi penampilan mereka tetap seperti bodyguard,” katanya dalam nada sinis.

Hari ini, ATM dalam satu kenyataan berkata, kesemua anggota pasukan khas itu ditamatkan penugasan mereka sebagai pengiring rapat kepada Hishamuddin selepas PRU14 lalu.

“ATM telah melaksanakan siasatan terhadap dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua anggota yang masih berkhidmat tidak melaksanakan apa jua tugasan dengan pihak yang tidak mempunyai hak dan kaitan berdasarkan peraturan semasa.

”Dalam masa yang sama, tindakan yang tegas akan diambil ke atas mana-mana anggota sekiranya mereka didapati melanggar perintah dan peraturan semasa,” kata kenyataan itu.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment