Pasukan khas tangani isu import cili merah
PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menggerakkan satu pasukan khas bagi menangani isu berbangkit daripada pengimportan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Berhubung isu lambakan cili merah yang dilaporkan media tempatan, MOA menjelaskan pasukan khas tersebut berperanan bagi memastikan cili merah tempatan berdaya saing di dalam pasaran.
Menurut kenyataannya, pasukan khas dianggotai Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan mengambil tindakan ke atas sebarang pelanggaran.
âKesalahan yang berlaku dalam pengimportan cili merah akan diambil tindakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Akta Makanan 1983 serta di bawah Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 sekiranya berlaku kemudaratan kepada industri tempatan akibat dagangan cili merah yang diimport ke dalam Malaysia,â kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, MOA berkata, pada 2017 pengeluaran cili merah tempatan sebanyak 27,000 tan metrik hanya mampu menampung 37 peratus daripada permintaan negara.
âSehubungan itu, baki sebanyak 63 peratus lagi perlu ditampung melalui pengimportan bagi memastikan bekalan cili merah dalam pasaran mencukupi.
âPengimportan hasil pertanian dari negara luar disyaratkan dengan permit import iaitu instrumen kawalan yang digunakan oleh kerajaan bagi mengawasi kualiti, keselamatan, penyakit dan perosak yang boleh membahayakan pengguna dan sektor pertanian negara,â katanya.
MOA menguatkuasakan permit import cili merah mulai 1 Mac 2017 bagi mengawal perosak lalat buah cili dan penggunaan sisa racun makhluk perosak supaya mematuhi piawaian Asean Maximum Residue Levels (Asean MRLs).
Daripada Januari sehingga Julai tahun ini, sebanyak 1,092 permit import telah dikeluarkan bagi mengimport 31,000 tan metrik cili merah melalui 16 pintu masuk negara yang telah diwartakan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment