Minat berdakwah sejak zaman sekolah

Friday, August 3, 2018

Minat berdakwah sejak zaman sekolah

Minat berdakwah sejak zaman sekolah

IPOH - Meminati kerja dakwah sejak di bangku sekolah menjadikan Mohammad Hafez Ardhi@Ardzi, 36, tidak kekok bersama masyarakat.

Menjadi guru tauliah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), beliau mempunyai sembilan tempat pengajian di masjid dan surau sekitar Ipoh.

Bagaimanapun, beliau lebih gemar mendekati masyarakat berdakwah berbanding di masjid dan surau.

Katanya, dakwah di masjid dan surau mempunyai khalayak tersendiri malah yang mendengar kuliah pengajian itu memang mempunyai ilmu.

“Saya gembira dengan kerja dakwah ini. Lebih saya suka adalah bertemu dengan masyarakat menyelami masalah mereka sambil menyampaikan dakwah.

“Dakwah kepada masyarakat di luar masjid dan surau ini memberi kesan mendalam kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dari segi kepimpinan pula, Mohammad Hafez yang juga Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Perak berkata, banyak program Abim yang membantunya dalam menyebarkan dakwah.

Katanya, antara program yang memberikan kesan mendalam adalah Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB).

“Program ini program tahunan Abim di mana kita membantu golongan kurang bernasib baik dengan menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.

“Ada yang kita jumpa bila kita beri sumbangan mereka tak berkata apa cuma menangis kerana ada yang sudi membantu. Ini memang memberi kesan kepada saya,” katanya.

Mohammad Hafez berkata, selain itu ada juga program ilmu yang dibuat di tempat terbuka seperti di pasar raya dan sebagainya kerana ingin memberi ruang kepada masyarakat untuk menyertai bersama.

Ditanya cabaran dalam dakwah beliau berkata, pendekatan dakwah perlu bersesuaian dengan keadaan dan mengikut peredaran masa.

Katanya, bagaimanapun pendekatan itu jangan sampai menggadai konsep asas Islam itu sendiri.

“Dakwah tak semestinya pakai kopiah atau songkok dan kalau tak pakai pun tidaklah sampai menggadai konsep asas Islam.

“Yang tak bolehnya, kerana mahu guna pendekatan dakwah semasa, kita pula main futsal atau bola pakai seluar pendek, itu tak betul,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Hafez berkata, satu lagi cabaran dakwah adalah media sosial.

Katanya, tidak dinafikan media sosial merupakan media berkesan dalam dakwah tetapi jika tidak ditangani dengan baik boleh mendatangkan fitnah.

Menurut beliau, pendakwah perlu bijak menggunakan media sosial yang mana komen-komen diberikan dalam sesuatu isu adakalanya keterlaluan.

Sebagai aktivis Abim, Mohammad Hafez menggunakan sebaik mungkin medan itu untuk berdakwah dan mendekati masyarakat.

PROFIL

Nama: Mohammad Hafez Ardhi@Ardzi

Umur: 36

Status: Berkahwin

Asal: Simpang Pulai, Ipoh

Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Jelapang Maahad Al-Ummah, Chepor.

Diploma Usuluddin, Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.

Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Mesir

Diploma Perguruan, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bangi.

Master Pengajian Islam, Open University.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment