Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11 pagi itu, pemilik kilang, Heng Kah Hong, 58, dan juruteknik, Wong Siak Hoong, 56, serta pekerja warga Bangladesh, Mohammad Alim, 53, disahkan maut oleh pihak hospital manakala seorang lagi pekerja warga Bangladesh cedera di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten komisioner Samsor Maarof berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menguji mesin bekalan kuasa ciptaan sendiri.
“Difahamkan mesin berkenaan telah dicuba beberapa kali sebelum ini dan itu adalah ujian terakhir. Tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
“Kilang ini juga mempunyai lesen sah dan telah beroperasi sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang, Penolong Penguasa Bomba Yazli Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11 pagi sebelum sebuah jentera dengan dua pegawai serta enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika kesemua mangsa berada di bawah mesin untuk membuat ujian mesin. Apabila soket elektrik dipasangkan, mesin tersebut tiba-tiba meletup dan jatuh menghempap mereka.
“Operasi dijalankan sehingga pukul 3.15 petang dan pihak forensik bomba juga hadir bagi melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian,” ujarnya.
sumber: utusan
0 comments:
Post a Comment