MB kecewa pantai PD tak diselenggara dengan baik
PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan kecewa dengan syarikat konsesi pembersihan kerana tidak menyelenggara dengan baik pantai peranginan di negeri ini yang menjadi tumpuan pelancong.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sudah memberi peruntukan sebanyak RM9 juta kepada syarikat konsesi pembersihan tersebut bagi tempoh setahun untuk menyelenggara pantai-pantai di sini supaya sentiasa berada dalam keadaan bersih daripada sampah sarap.
"Sepatutnya tidak ada program gotong-royong di kawasan yang sudah mempunyai syarikat yang menyelenggara kebersihan tetapi berlaku sebaliknya kerana ada yang tidak kena dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka.
"Kita mahu menjadikan Port Dickson ini sebagai pusat pelancongan yang tersohor, sudah pasti tahap kebersihan perlu diberi keutamaan," katanya selepas menghadiri Hari Kebersihan Port Dickson di Pantai Tanjung Biru, di sini, semalam.
Beliau berkata, sejak sebulan yang lalu terdapat perubahan dilakukan syarikat konsesi tersebut apabila kawasan pantai peranginan itu sudah kelihatan bersih dan beliau berharap tahap itu dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa.
"Kerajaan negeri amat berharap syarikat konsesi ini lebih bertanggungjawab dengan tugasan yang diberikan.
"Selain itu, kita juga berharap agar orang ramai turut membantu menjaga kebersihan kerana Port Dickson ini merupakan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara," katanya. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment