Judi guna telefon bimbit
TANAH MERAH - Polis berjaya mengesan kegiatan judi menggunakan aplikasi atas talian (online) melalui telefon bimbit di daerah ini yang melibatkan remaja berumur 20-an.
Kegiatan itu terbongkar selepas sebuah pusat siber di Kampung Tok Che Dol yang dikenal pasti menjalankan kegiatan itu diserbu Khamis lalu kira-kira jam 6 petang.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang dipercayai dalang aktiviti itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan menjual kad prabayar (top up) kepada pelanggan dan melalui kad itu satu kod untuk akses aplikasi judi diberikan kepada pelanggan.
"Pelanggan hanya perlu membayar minimum RM10 sama ada secara terus atau melalui akaun bank mereka dan apabila mendapat kod akses melalui WhatsApp mereka boleh mula menyertai permainan judi itu.
"Permainan judi atas talian ini lebih mudah dan hanya dengan menggunankan telefon bimbit sendiri pelanggan boleh menyertai permainan judi itu di mana sahaja.
"Ini merupakan taktik terbaru sindiket judi dalam talian. Mereka bergerak secara kecil-kecilan dan sukar dikesan kerana tidak menjalankan aktiviti judi dalam premis," katanya dalam satu sidang media di IPD Tanah Merah, hari ini.
Azmi berkata, remaja adalah sasaran sindiket berkenaan kerana golongan itu mahir menggunakan telefon bimbit dengan pelbagai aplikasi canggih yang mudah untuk dimuat turun.
Beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berhubung kegiatan itu.
"Jika nampak perlakuan remaja yang mencurigakan dan menjalankan urus niaga melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank ketika awal pagi, berkemungkinan mereka juga antara yang terjebak dalam aktiviti judi atas talian," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment