Juara AF2016, Amir Masdi akui ketinggalan
BEKAS juara program realiti Akademi Fantasia 2016, Amir Masdi tidak menyalahkan sesiapa seandainya ada yang menganggap dia sudah tidak menyanyi lagi.
"Saya tak salahkan sesiapa. Malah memang saya pun sudah agak ketinggalan ke belakang berbanding rakan selebriti lain termasuklah lambakan pelapis baharu," katanya kepada Sinar Harian.
Menyedari sukarnya untuk mencipta nama di lapangan hiburan, Amir bagaimanapun terus cekal berdepan situasi itu dan berharap pada sinar baharu menerusi single ketiga.
"Mungkin susah untuk meletakkan nama yang setaraf ataupun lebih daripada artis lain.
"Tetapi, saya berharap single ketiga berjudul Puas ini dapat menebus semula anggapan mereka," jelas Amir.
Amir Syazwan Masdi atau lebih dikenali Amir AF2016, berharap lagu baharunya itu dapat diterima umum.
"Pada masa sama harapan saya pada single kali ini lebih tinggi, sebab saya mahu orang ramai dapat mengingati semula kewujudan saya di arena hiburan.
"Saya juga yakin lagu ini boleh pergi jauh dan dapat sambutan orang ramai," ujarnya lagi.
Lagu terbaharu Amir pada kali ini berentak rock balada merupakan ciptaan Ayden Ali bersama Ikhwan Fatanna dan klip video lagu Puas sudah dilancarkan secara rasmi pada 14 Ogos lalu di YouTube.
Terdahulu, single pertama Amir bertajuk Pemilik Cinta (2016) dan kedua ialah Waktu (2017).
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment