Dua maut dalam nahas berasingan

Saturday, August 25, 2018

Dua maut dalam nahas berasingan

Dua maut dalam nahas berasingan

PEKAN - Seorang penunggang maut manakala dua yang lain cedera dalam nahas melibatkan dua motosikal di Kilometer 3, Jalan Chini-Kuantan, Pekan, petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang  itu, peneroka dari Felda Chini 3, Md Yusof Ismail, 67 meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang, .Abu Hanipah Napis, 49 dan pemboncengnya, Hazlina Ahmad, 47 cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mohd Zin berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 keluar simpang Chini 3 lalu bertembung dengan sebuah lagi  motosikal yang datang dari arah Chini menghala ke Pekan.

“Akibat rempuhan kuat, kedua-dua motosikal melekat di tengah jalan manakala mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan dan salah seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, dalam kemalangan berasingan, seorang pejalan kaki maut selepas terjatuh ketika mengelak dari dirempuh sebuah motosikal di Jalan Tengkun Abdullah, Pekan, kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.35 malam, 24 Ogos lalu, mangsa , An Mo Hua, 67 cedera dikepala sebelum dihantar ke HTAA untuk rawatan lanjut bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam ketika menerima rawatan.

Menurutnya, dalam kemalangan itu, penunggang, Ho Kip Yap, 34 tidak mengalami kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila mangsa melintas secara tiba-tiba menyebabkan penunggang nyaris terlanggarnya.

“Penunggang terbabit sempat mengelak bagaimanapun mangsa yang cuba mengelak terjatuh dan tidak sedarkan diri akibat kepala terhantuk,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kemalangan mengorbankan dua nyawa itu disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment