Dihantui kicauan burung beberapa hari sebelum maut

Sunday, August 26, 2018

Dihantui kicauan burung beberapa hari sebelum maut

Dihantui kicauan burung beberapa hari sebelum maut

JELI - Mangsa nahas dua kereta di Kampung Bukit Tok Ali pernah mengadu mendengar kicauan burung beberapa hari sebelum maut dalam kemalangan jalan raya di sini, hari ini.

Bapa mentua mangsa, Mohamed Nawi Hamat, 64, berkata, Allahyarham menantunya, Muhammad Addin Mahadi, 29, mengadu mendengar kicauan burung berkenaan beberapa hari sebelum Hari Raya Aidiladha.

"Arwah pernah beritahu saya tentang kicauan burung yang didengari, malah sebelum itu dia juga ada tanya rakan-rakannya di tempat kerja.

"Saya bawa arwah untuk rawatan alternatif bila dia beritahu kicauan burung berkenaan membuatkan dia terganggu," katanya kepada media ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Jeli di sini, hari ini.

Mohamed Nawi berkata, beberapa hari selepas rawatan tersebut, dia ada bertanya kepada menantunya mengenai kicauan burung tersebut dan Allahyarham beritahu masih mendengar bunyi berkenaan termasuk dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Dungun pada pagi Hari Raya Aidiladha lalu.

Katanya, Allahyarham juga pernah memaklumkan kepada isterinya, Siti Nasuha Mohamed Nawi, 25, tentang rasa berat hatinya untuk meninggalkan kedua orang tuanya di Dungun.

"Pak cik hanya tahu tentang kejadian kira-kira jam 1 petang selepas dimaklumkan Siti Nasuha.

"Polis hubungi anak pak cik, isteri arwah, kemudian pak cik hubungi semula balai polis untuk lebih kepastian," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian menantunya itu sedang bertugas dan dalam perjalanan dari arah Kuala Balah Balah ke Jeli.

"Jenazah akan dikebumikan di kampung halaman arwah di Dungun selepas segala urusan di hospital selesai," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, Perodua Viva dipandu Muhammad Addin dari Kuala Balah ke Jeli bertembung dengan Perodua Myvi dari arah Jeli ke Jelawang.

Kemalangan itu turut mengorbankan pemandu Perodua Myvi yang juga imam kedua Masjid Mukim Jelawang, Ahmad Awang Ngah, 78.

Difahamkan, Allahyarham Muhammad Addin yang juga kakitangan Seroja Teguh Sdn Bhd meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil anak kedua dan seorang anak lelaki berusia setahun lapan bulan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Imam maut nahas dua kereta]



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment