Cadangan KPKT perlu dilaksana segera: TPM

Saturday, August 25, 2018

Cadangan KPKT perlu dilaksana segera: TPM

Cadangan KPKT perlu dilaksana segera: TPM

PUTRAJAYA - Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menilai semula peruntukan bagi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara jika gagal melantik 30 peratus wanita sebagai ahli majlis perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyambut baik cadangan berkata, wanita perlu memainkan peranan tetapi bersandarkan kelayakan.

“Elemen kelayakan juga penting. Itu adalah satu dari kriteria. (Dengan ini) Wanita akan dapat sedikit lagi kelebihan.

“Dari aspek pemilihan, kita kena tengok dahulu kerana kita ada proses pemilihan. Tetapi eloklah cadangan itu dilaksanakan secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Floria Diraja Putrajaya 2018, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Semak peruntukan PBT jika gagal lantik 30 peratus wanita]

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian itu akan menilai semula peruntukan bagi semua PBT di seluruh negara sekiranya gagal melantik 30 peratus wanita sebagai anggota majlis.

Katanya, perkara yang bakal menjadi syarat baharu dalam Sistem Penarafan Bintang PBT, masih diperincikan dan ia akan dilaksanakan selepas tempoh dua tahun ini dan syarat itu tertakluk kepada semua PBT di seluruh negara termasuk di negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Dalam pada itu, ditanya tentang cadangan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensyaratkan setiap parti politik meletakkan 30 peratus wanita sebagai calon pilihan raya, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu adalah tidak perlu dilaksanakan.

“Berilah masing-masing mempunyai kelonggaran untuk memilih (calon mereka),” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment