Berucap pun perlu guna otak
DUA kali sebulan saya akan menaiki LRT ke Stesen KLCC untuk menghadiri kelas pengucapan awam di bawah kelolaan Kelab Pidato Perdana. Kelas bermula pukul 8.30 malam dan biasanya saya akan terus ke kelas dari tempat kerja.
Saya bergiat dalam bidang ini sudah lebih dua tahun. Sebelum ini di cawangan Pulau Pinang. Oleh kerana telah bertukar ke ibu pejabat, saya menyambung di cawangan Pusat Bandaraya pula atau di panggil Zon Pusat. Di Zon Pusat ini terdiri dari tiga cawangan iaitu di Putrajaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Sebenarnya Kelab Pidato Perdana ini mempunyai 20 cawangan termasuk Singapura. Ahli kelab sangat aktif menimba ilmu dalam bidang ini. Yang menarik tentang kelab ini kerana menggunakan bahasa Melayu Johor Riau sebagai bahasa ucapan. Cogan kata âLestarikan Bahasa, Senikan Bicaraââ ini sendiri adalah satu usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam pengucapan awam.
Pembelajaran dan latihan praktikal dijalankan berterusan selama enam bulan. Kemudian disertai pula ujian penarafan untuk menguji ahli kelab. Jika lulus, sijil pengiktirafan akan diberi dan yang paling penting, ilmu yang diperoleh selama enam bulan itu berjaya dimanfaatkan.
Ujian penarafan ini mempunyai beberapa tahap, iaitu Pemidato Mahir Pangkat Dua dan Satu (PMP2 dan PMP1), Pemidato Cemerlang Pangkat Dua dan Satu (PCP2 dan PCP1) dan setelah berjaya mengharungi tahap-tahap ini pelajar akan mengambil sijil eksklusif dan paling mencabar iaitu Pemidato Pra Gemilang dan Pemidato Gemilang (PPG dan PG).
Sebelum itu, beberapa minggu lepas saya telah menghadiri kelas latihan penarafan di mana ahli akan berlatih terlebih dahulu sebelum ujian sebenar. Setelah mengetahui saya layak untuk mengambil PCP1 maka saya pun bersedia untuk berucap. Dalam PCP1 saya ditanya tiga soalan spontan iaitu soalan peribadi, isu semasa dan peribahasa. Setiap soalan perlu dijawab dalam masa tiga minit.
Selesai berlatih, tiba masa untuk mendengar komen jurulatih pula. Kata jurulatih Rudi, âdalam pengucapan spontan ini kita dilatih untuk menggunakan otak dengan pantas. Berfikir sepintas lalu sebelum membuka mulut untuk berucap.ââ
Ah, memang mencabar untuk bercakap sambil berfikir serentak. Otak berfikir kemudian diolah menjadi ungkapan perkataan lalu terbit di mulut merupakan suatu perlakuan kerja yang banyak sebenarnya. Jika tajuk atau skrip sudah diberi senang untuk membuat persediaan. Nah di sinilah otak memainkan peranan penting. Sebab itu latihan perlu dibuat supaya ahli sentiasa bersedia.
Kata Jurulatih Rudy lagi, âTahap PCP ini sudah dikira sebagai penceramah. Bersedia bila-bila masa untuk berucap apabila disuruh. Pada masa yang sama melatih otak untuk berfikir dengan pantas apakah kandungan ucapan yang hendak disajikan di hadapan khalayak.ââ
Saya mendengar dengan teliti setiap komen dan teguran jurulatih Rudy. Dalam berucap ini perlu juga untuk kita mengambil kira akan keadaan khalayak. Dengan kata lain kena tahu siapa khalayak kita.
Maka kita perlu bersedia dengan ucapan yang sepatutnya bersesuaian dengan khalayak yang mendengar. Kita juga perlu prihatin dan berfikir dahulu supaya ucapan yang terbit dari mulut tidak menggores hati.
Sensitiviti dan fakta perlu diambil kira. Jika ucapan perlu kepada fakta maka buatlah kajian dahulu. Supaya fakta yang disajikan dalam ucapan nanti tidak bercanggah dan tidak menimbulkan pertelingkahan.
Emosi pula perlu diletak tepi. Bila emosi menguasai diri, akal sudah berada di tapak kaki. Bak kata pepatah Melayu pula, âTerlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.â
Namun dalam memberi ucapan spontan ini kadang-kadang kita akan tersasul juga. Maka cepat-cepatlah memohon maaf. Memohon maaf pun perlu ikhlas, jangan memohon maaf dan pada masa yang sama berkelakuan seperti pepatah Indonesia ini, âTak bisa menari dikatakan lantai berjungkit.ââ
Oleh sebab itu di Kelab Pidato Perdana ada menyediakan latihan pengucapan awam tersedia dan latihan pengucapan spontan. Ini bertujuan melatih ahli supaya mahir dalam kedua-dua perkara tersebut. Ia juga bagus untuk mereka yang ingin meningkatkan kerjaya masing-masing.
Semakin tinggi tahap kerjaya atau jawatan maka perlu sentiasa bersedia untuk berucap di hadapan khalayak terutama pekerja-pekerja di bawah urus tadbir kita. Justeru perlu juga berhati-hati supaya apabila berucap, tidak menampakkan kita sebagai ketua yang kurang cerdik.
Jadi kepada sesiapa yang berminat untuk belajar pengucapan awam secara spontan boleh datang ke Kelab Pidato Perdana untuk pemantapan. Di samping belajar berucap boleh juga belajar cara menggunakan otak untuk berfikir dengan betul supaya tidak tersasul mengeluarkan ucapan yang tidak sepatutnya.
Pada masa yang sama saya juga hendak cadangkan kepada jurulatih Rudy, jika ada ahli yang berucap tanpa menggunakan otak sehingga terbit fakta yang salah, boleh sahaja diketuk kepala mereka dengan pembaris. Berani?
*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment