Angkat karya agung Kedah sebagai Warisan Dunia

Sunday, August 19, 2018

Angkat karya agung Kedah sebagai Warisan Dunia

Angkat karya agung Kedah sebagai Warisan Dunia

ALOR SETAR - Karya agung, Manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darulaman memiliki potensi diangkat sebagai Warisan Dunia di bawah program Memory of World (MOW) UNESCO.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusoff, berkata, pihaknya bersetuju manuskrip itu diangkat sebagai Warisan Dunia seperti karya lain.

Kata beliau, manuskrip berkaitan susur galur pemerintahan Kedah terbabit yang menjadikan rujukan generasi kini disifatkan setanding dengan karya lain.

"Bagi saya, Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darulaman memiliki potensi untuk diangkat kerana ia menceritakan setiap peristiwa sejarah dengan teliti dan lengkap.

"Daripada peristiwa kedatangan Islam pada 1136 Masihi hingga kepada perkahwinan Diraja diceritakan terperinci dalam manuskrip tersebut," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Bengkel Pencalonan Manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darulaman sebagai Warisan dunia di Muzium Negeri Kedah, di sini.

"Yang keduanya, penggunaan Masihi dan hijrah tercatat dengan lengkap, daripada tarikh Tunku Anum memerintah Kubang Pasu Darul Qiyam sehinggalah mangkat dicatatkan," katanya.

Jelasnya,  catatan tahun lengkap berkaitan peristiwa sejarah itu amat penting membantu dalam aspek generasi kini mengetahui kisah dan sejarah sesuatu tempat.

Malah,manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darulaman ini banyak menjadi rujukan dan panduan berkaitan banyak perkara.

Katanya, pihaknya menyambut baik cadangan Jabatan Warisan Negara supaya lebih banyak kajian dilaksanakan demi membuktikan karya itu layak diangkat sebagai warisan dunia.

Sehubungan itu, usaha bersinergi antara Dewan Bahasa dan Pustaka , Muzium Negeri Kedah dan PSMCK menerusi penyelidikan, penerbitan dan pelbagai wacana untuk mengangkat karya agung itu.

Katanya, usaha berkenaan diambil demi meningkatkan penghayatan dan penyebaran karya agung khususnya berkaitan Kedah untuk merentasi khalayak, batasan geografi dan dikenali warga dunia dalam daftar Warisan Dunia Unesco.

Versi terbaharu Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darulaman diselenggara Dr Ibrahim.

 

Terdapat lima naskah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darulaman, iaitu manuskrip jawi (PDM-DBP, 1927), cetakan rumi (DBP, 1968), cetakan jawi awal (JELUTUNG, 1928) dan cetakan jawi kedua (JELUTUNG, 1928) dan terbaharu keluaran PSMCK.

Sejak 2001, lima khazanah persuratan Malaysia memperoleh pengiktirafan tertinggi dunia bertaraf antarabangsa MOW, iaitu Sulatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Surat-surat Sultan Abdul Hamid, Batu Bersurat Terengganu dan Kitab Ilmu Bedil.

Terdahulu, Bengkel Pencalonan Manuskrip Al-Tarikh Salasilah Kedah Darulaman sebagai Warisan Dunia dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Muzium Negeri Kedah dengan kerjasama PSMCK.

Sesi dialog diketuai moderator, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Mohd Hanafi Ibrahim bersama tiga ahli panel, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Jelani Harun, Presiden MASDINAR, Dr Ibrahim Bakar dan Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Shamsuddin.

Dr Jelani Harun membentangkan tajuk Al-Tarikh Salasilah Kedah Darulaman-Pensejarahan Kedah, diikuti Al-Tarikh Salasilah Kedah Darulaman- Analisis Perbandingan Teks oleh Dr Ibrahim dan Wan Shamsuddin dengan Beberapa persoalan menarik dalam Al-Tarikh Salasilah Kedah Darulaman sebagai Karya Pensejarahan Teragung).   
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment