Titi berlubang ancam pengguna
BALING - Keadaan titi berlubang di Kampung Charok Sikin dikhuatiri memberi risiko kepada pengguna.
Penduduk, Mohd Nazir Ibrahim, 59, berkata, titi itu ialah laluan asal menghubungkan Kampung Charok Sikin dengan Kampung Kubang Panjang.
Menurutnya, penduduk masih menggunakan titi tersebut kerana jarak perjalanan yang dekat meskipun terdapat laluan baharu.
"Ramai yang lalu di sini untuk hantar anak ke sekolah. Pelajar dan penoreh pun guna jalan ni juga seawal subuh.
"Selain berlubang, kira-kira tujuh penghadang titi ni dah hilang. Tak tau la pi mana," katanya.
Penduduk, Mohd Shahrul Ismail, 33, berkata, keadaan titi tidak berubah sejak beberapa tahun lalu.
"Pengguna motosikal yang lalu di sini pun ada yang pernah terjatuh sebab tak perasan ada lubang," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk daerah Baling (Perkeba), Jhangir Khan Kathem Khan berkata, pihak berwajib diminta segera ambil tindakan.
"Kita lihat struktur bawah titi ini pun sudah rosak.
"Perkeba prihatin dengan masalah masyarakat, kami tidak akan berdiam diri dan akan pastikan titi ini siap dibaik pulih," katanya.
Terdahulu, Jhangir bersama Setiausaha Kehormat Perkeba, Mohd Nazry Md Bidin dan penduduk meninjau keadaan titi tersebut.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment