Kerajaan tidak akan bantah saman atas alasan teknikal

Tuesday, August 14, 2018

Kerajaan tidak akan bantah saman atas alasan teknikal

Kerajaan tidak akan bantah saman atas alasan teknikal

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan memohon untuk membatalkan saman dikemukakan terhadapnya oleh individu hanya atas alasan teknikal, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) akan fokus terhadap merit aduan dibuat litigan, daripada mencari aspek teknikal dan prosedur untuk mengemukakan bantahan bagi membatalkan saman berkenaan.

"Pertikaian antara pihak-pihak berkenaan perlu dibenarkan untuk ditentukan berdasarkan merit di mahkamah. Akses kepada keadilan, iaitu oleh Mahkamah adalah penting, dan cubaan oleh mana-mana pihak legislatif  dan eksekutif untuk menghalangnya perlu ditolak," katanya dalam ucap tama pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata kebiasaannya apabila tindakan undang-undang dikemukakan terhadap kerajaan di mahkamah, AGC akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atau mengemukakan bantahan awal sama ada terdapat merit ataupun tidak dalam kes itu.

Thomas juga berkata beliau akan mengesyorkan kepada kerajaan untuk menetapkan undang-undang yang perlu berhubung perkara itu.

Thomas berkata sementara menunggu penguatkuasaan undang-undang itu, dengan itu AGC akan berhenti daripada bergantung kepada klausa-klausa  penyingkiran dalam mana-mana undang-undang bertulis dan tidak akan membantah terhadap hak litigan untuk akses kepada mahkamah dalam mendapatkan keadilan terhadap kekecewaan mereka.

Beliau turut menegaskan, AGC akan memperkenalkan akta  untuk menggantikan Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976 yang sedang didraf oleh Majlis Peguam.

"Saya akan menasihatkan kerajaan bahawa penglibatan secara terus negara dalam tadbir urus profesion undang-undang adalah memudaratkan kebebasan peguam. Negara perlu menarik diri daripada penglibatan seumpama itu.

"Dalam undang-undang baharu, tiada lagi peranan bagi Peguam Negara atau mana-mana fungsi negara yang lain. Sekiranya gabungan bakat kira-kira 18,000 pengamal persendirian masih tidak dapat mendraf dengan cepat Akta baharu itu untuk profesion mereka sendiri, apa harapan yang ada bagi penggubalan undang-undang oleh pihak lain di masa depan," katanya.

Thomas berkata terdapat pengamal yang mencukupi dalam Kabinet yang bersedia untuk meluluskannya di Parlimen.

"Penggubalan undang-undang adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan  kerjasama daripada pihak berkepentingan, peguam, anggota Kabinet secara individu ataupun kolektif, pihak pendraf di Parlimen dan akhirnya Parlimen," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas siasatan kes budak perempuan 11 tahun yang berkahwin dengan lelaki 41 tahun di Gua Musang, Kelantan,  Thomas berkata kertas siasatan (IP) baru sahaja dihantar ke pejabatnya,

"IP baru tiba, belum lagi berada atas meja saya. Kami akan menelitinya," katanya. รข€" Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment