Sukan Asia: Empat perak, empat gangsa dari pencak silat
JAKARTA - Malaysia menutup saingan pencak silat yang julung kali dipertandingkan di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan meraih empat perak dan empat gangsa.
Kem silat kebangsaan kecundang bila gagal mencapai sasaran tiga emas yang dilihat berpotensi diraih oleh beberapa pesilat negara diketuai juara dunia 2016 yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Mohd Al Jufferi Jamari.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang ralat dengan pencapaian itu bagaimanapun berkata semua pesilat negara yang beraksi di Padepokan Pencak Silat Taman Mini Indonesia Indah itu sudah pun berjuang bermati-matian.
âSecara peribadi saya tidak berpuas hati tetapi kita mesti ucap tahniah kepada semua pesilat kerana mereka sudah buat yang terbaik untuk negara.
âSasaran kita adalah tiga emas dan ia ditunggu-tunggu kerana kita mahu membantu melonjakkan kedudukan pingat emas untuk negara. Pastinya boleh dikatakan kami gagal tetapi daripada 15 acara yang disertai, lapan pesilat negara memenangi pingat dan saya rasa itu satu pencapaian yang boleh dibanggakan,â katanya.
Pada masa sama, Megat Zulkarnain menyifatkan kekalahan penuh kontroversi Al Jufferi pada Selasa lepas adalah titik permulaan kepada kegagalan kem silat kebangsaan selain memberi kesan kepada dua pesilat negara yang turun bertanding hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada sebarang tekanan diberikan kepada dua pesilat iaitu Mohd Fauzi Khalid dan Mohd Khaizul Yaacob dalam meneruskan misi memburu pingat emas sulung negara dalam sukan itu.
âKalau Al Jufferi kemenangannya dibenarkan saya yakin pingat emas yang selebihnya akan menjelma kerana dia memberi rangsangan kepada pasukan. Ini adalah sukan tempur dan sukan ini memerlukan rangsangan dalaman.
âSebenarnya sasaran tiga emas itu langsung tidak memberikan tekanan kepada pesilat kerana kita tahu kemampuan pesilat negara cuma dalam sukan ini apa sahaja kemungkinan boleh terjadi dan ia juga telah terjadi,â tambahnya.
Empat pingat perak negara disumbangkan Al Jufferi dalam Kelas E Putra (65kg-70kg), Mohd Fauzi (Kelas F 70kg-75kg), Mohd Khaizul (Kelas J 90kg-95kg) dan Mohd Faizul M Nasir (Kelas B 50kg-55kg).
Sementara gangsa diraih oleh Muhammad Robial Sobri (Kelas I 85kg-90kg), Mohamad Hazim Amzad (Kelas C 55kg-60kg) dan dua lagi masing-masing berjaya dimenangi menerusi acara regu lelaki dan regu wanita. -Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment