Sharwani sebak kongsi kenangan bersama arwah Rab Khalid

Thursday, August 16, 2018

Sharwani sebak kongsi kenangan bersama arwah Rab Khalid

Sharwani sebak kongsi kenangan bersama arwah Rab Khalid

NAMA Rab Khalid atau pun juga dikenali dengan Yeh Sekupang dalam filem-filem arahan Mamat Khalid barangkali sedikit asing.

Namun bagi teman seperjuangan yang sudah beberapa kali bekerjasama dengan Allahyarham, pemergiannya Januari lalu sedikit sebanyak meninggalkan kesan.

Lebih-lebih lagi mereka ketika itu baharu sahaja menyelesaikan penggambaran Hantu Kak Limah.

Berkongsi detik terakhir bersama Allahyarham, salah seorang pelakon filem berkenaan, Sharwani berkata, kebiasaannya dia dan Rab Khalid sering tinggal sebiliknya sekiranya digandingkan berlakon di bawah produksi sama.

Bagaimanapun ketika penggambaran Hantu Kak Limah, dia hanya sempat tinggal sebilik untuk semalam.

"Sepanjang penggambaran filem Hantu Kak Limah, saya cuma sempat satu malam berkongsi bilik dengan dia.

"Pada malam itu dia kejut saya dan memberitahu saya berdengkur dengan kuat.

"Kebetulan tempat kami shooting dekat dengan kampung halaman saya, jadi demi jaga hati dia, saya minta izin untuk balik ke rumah bagi menemankan bapa saya yang berseorangan.

"Itulah kali terakhir kami meluangkan masa bersama-sama. Hajat untuk berlakon sama dalam naskhah berikutnya tidak kesampaian," katanya.

Rab yang begitu sinonim dengan karakter Yeh Sekupang telah meninggal dunia kerana sakit jantung pada Januari lalu.

"Filem ini filem dia, filem ini untuk arwah Rab Khalid atau Yeh Sekupang. Kita doakan yang terbaik untuk dia," tambah Wani.

Dalam filem francais Hantu Kak Limah, Sharwani masih diberikan tanggungjawab mendukung peranan Wani di samping Datuk Awie dan Rab.

Sementara itu, pengarah filem ini, Mamat Khalid berkata, dia tidak dapat menahan air mata ketika menyiapkan proses suntingan filem ini di Bangkok dan terpaksa menangguh kerja sehari bagi menenangkan diri.

Katanya, Allahyarham begitu memahami apa yang dimahukan dan segala lakonannya dalam Hantu Kak Limah adalah mengikut arahannya.

"Ramai pelik kenapa saya tak menangis. Saya sebenarnya dah barai (menangis) ketika proses suntingan filem ini.

"Sebelum ini saya ada merancang untuk meneruskan francais Hantu Kak Limah, tapi lepas arwah pergi, saya rasa perancangan itu sukar untuk diteruskan," katanya.

Filem Hantu Kak Limah merupakan francais keempat kisah Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Sehingga kini, Hantu Kak Limah sudah mengutip RM9 juta sejak tayangan Khamis lalu.

Selain Sharwani dan Rab, Hantu Kak Limah menampilkan barisan pelakon popular antaranya Datuk Awie, Delimawati, TJ Isa, Sharwani, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Erra Fazira, Jue Aziz, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim dan Datuk Seri Vida.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment