Nyaris maut kereta terbakar selepas kemalangan
BAGAN SERAI - Seorang lelaki nyaris maut, manakala tiga lagi cedera setelah salah sebuah kereta terlibat kemalangan yang turut membabitkan sebuah kereta pusat latihan memandu, terbakar dalam kejadian di Jalan Batu 8, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.45 pagi, tiga mangsa berusia 20 hingga 40 tahun, yang juga pengajar dan pelajar sebuah pusat latihan memandu di sini mengalami kecederaan ringan setelah terbabit kemalangan membabitkan Perodua Alza dan Perodua Viva.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Bagan Serai, PB Mohd Ridzuan Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan awam jam 8 pagi yang memaklumkan satu kejadian kemalangan dan segera ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah Perodua Alza berwarna putih yang musnah terbakar hampir 70 peratus.
"Kebakaran itu difahamkan berlaku setelah kenderaan berkenaan bertembung dengan sebuah Perodua Viva yang digunakan sebuah pusat latihan memandu di sini.
"Kejadian itu dipercayai nyaris menyebabkan pemandu Perodua Alza terperangkap dalam kereta yang yang sedang terbakar, namun mangsa sempat dikeluarkan orang awam,"katanya kepada media di sini hari ini.
Mohd Ridzuan berkata, orang awam turut membantu mengeluarkan pemandu kereta pusat latihan memandu dan pelajar pusat latihan berkenaan.
"Anggota bomba bertindak membuat pemadaman api sehingga dipadamkan sepenuhnya.
"Manakala dua pelajar wanita dan satu lelaki dari kereta pusat latihan memandu berkenaan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Klinik Kesihatan Bagan Serai untuk rawatan susulan.
"Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui dan bomba menyerahkan perkara itu kepada polis," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment