Baru-baru ini, kecoh mengenai beberapa artis dan instafamous yang menggunakan serta menggayakan barangan tiruan berjenama mewah, berjaya diselidiki oleh laman instagram ‘StreetwearBustaMy’. Aktres dan usahawan muda Neelofa, berkata sudah tiba masanya masyarakat menukar cara pemikiran mereka.

BACA: Dipuji Mengacara, Netizen Mahu Nora Danish Ganti Neelofa


“Ia satu pendekatan yang kasar untuk mendidik masyarakat dan ia sesuatu yang mengaibkan dan memalukan individu yang didedahkan itu. Tapi saya rasa ini masanya kita kena ubah cara pemikiran masyarakat agar tidak memakai barangan tiruan.


“Saya memang tidak sokong individu yang memakai barang tiruan. Macam saya sendiri pun terkilan bila nampak orang pakai tudung tiruan Naelofar walhal saya jual tak lebih RM100 pun sehelai,” ujarnya lagi.

Tambahannya lagi, dia tidak akan sesekali memakai barangan tiruan sekiranya tidak mampu untuk memiliki barangan berjenama mewah tersebut.



Sebaliknya, aktres ini cuba memotivasikan dirinya agar suatu hari nanti dapat memiliki barangan yang diidamkannya.

“Kalau saya tiada duit untuk beli barang berjenama, saya memang tidak akan beli langsung. Saya memang tidak akan beli sama ada ia gred A atau gred B sekali pun.

“Tapi saya jadikan ia sebagai satu motivasi agar satu hari nanti saya boleh beli juga barang yang diinginkan itu.

“Macam sekarang pun saya masih lagi simpan impian nak membeli-belah tanpa memikirkan banyak kali sama ada harga barang itu mahal atau tidak,” katanya yang ditemui di Kempen kebajikan sosial A Cup Of Kindness anjuran Starbucks di Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini. (rtky/h)