Alunan ayat suci al-Quran di politeknik
JASIN - Politeknik Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila program #QuranHour akan diperluaskan ke institusi itu pada 14 Ogos setiap tahun bermula tahun ini.
Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Rashahidi Mohamood berkata, langkah memperluaskan program berkenaan dilaksanakan setelah mendapati ia memberi impak positif kepada peserta dan mereka yang terlibat.
Menurutnya, penganjurannya juga dilihat membantu politeknik melahirkan graduan holistik dan seimbang selari lonjakkan satu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) Pendidikan Tinggi.
Katanya, usaha ini akan memberi kelebihan kepada graduan institusi pengajian awam itu memiliki keperibadian akhlak murni serta adab tinggi menerusi penerapan al-Quran.
"Saban tahun kita dengar mengenai World #QuranHour hingga menjadi ikutan seluruh dunia dan tahun ini ia diadakan pada 7 Jun lalu.
"Maka kita terpanggil untuk memperluaskan program itu di politeknik seluruh negara dan tarikh 14 Ogos, menjadi tarikh penting bagi sambutan itu di semua politeknik bagi tahun-tahun akan datang," katanya.
Mohd Rashahidi berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz pada Majlis Perasmian Penutup Festival Quran Di Hatiku 2018 dan pelancaran #QuranHour Politeknik Malaysia 2018 di Dewan Platinum Politeknik Merlimau Melaka, tadi.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) yang juga Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali dan Pengarah Politeknik Merlimau Melaka, Rosli Hamid.
Dalam pada itu, johan hafazan kategori lelaki dimenangi Mohd Fitri Adnan dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, dan johan perempuan disandang Najihah Azhar dari Politeknik Shah Alam, Selangor.
Bagi kategori tilawah al-Quran, johan lelaki, Lufti Hadi Hasim dari Politeknik Shah Alam, Selangor dan johan perempuan dimiliki Siti Norhafidzah Ayob dari Politeknik Kuching, Sarawak.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment