Dakwah masakini: Dari konfrantasi kepada engagement
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
1. Ramai yang agak terkejut apabila melihat beberapa tokoh memulakan pendekatan dakwah yang berbeza dari apa yang dikenali sebelum ini khususnya terhadap golongan yang dilihat melanggar ajaran Islam. Dahulu, ramai golongan agama di Malaysia ini yang memakai pendekatan âkonfrantasiâ secara terbuka dengan golongan yang dilihat tidak mesra agama. Kita uslub perundingan, perbincangan dan cuba memahami realiti semasa diketengahkan.
2. Dahulu, pendekatan konfrantasi itu disebabkan pengaruh aliran jalur keras yang menguasai arena dakwah di tanahair. Dari pendekatan memaki-hamun, memutuskan hubungan, melabel serta memberikan gelaran buruk, seterusnya sehingga kafir-mengkafirkan dan menuduh pihak berbeza sebagai musuh Islam tanpa alasan yang kukuh. Malangnya, pendekatan itu semua dibuat atas nama dakwah padahal sebahagiannya bercampur dengan kepentingan tertentu. Lebih malang lagi maki-hamun, mencarut dan kelucahan itu dilakukan di dalam masjid. Paling baru, tersebar seorang penceramah di Utara yang merupakan anak bekas seorang Mufti yang membuat isyarat lucah dalam masjid. Demikian akhlak yang buruk diberikan jenama agama. Sepatutnya, pendekatan sebeginilah yang patut dikritik dan dibantah.
3. Walaupun pendekatan konfrontasi itu kadang-kala diperlukan, namun bukanlah dalam semua keadaan kita disuruh untuk berkonfrontasi. Apa yang penting, dakwah menuntut hikmah seperti yang al-Quran dalam Surah al-Nahl ayat 125:
Firman Allah:
(maksudnya): âSerulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Hikmah bererti mencari pendekatan yang paling sesuai dan paling berkesan. Hal ini pun satu ijtihad yang setiap kita mungkin mempunyai andaian atau jangkaan yang berbeza berkaitan kesan setiap pendekatan dakwah yang diambil. Kata al-Saâdi (meninggal 1376H) ketika mentafsirkan ayat di atas: âHikmah maksudnya setiap individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan perlaksanaannya..adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka. Antaranya dengan cara memberi amaran kepada mereka mengenai balasan ALLAH di akhirat dengan pendekatan yang dapat menginsafkan mereka. Sementara: berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkin mereka menerimanya secara akal dan nas ( Al-Saâdi, Taisir al-Karim al-Rahman, 452, Beirut: Muassasah al-Risalah).
4. Kita faham, oleh kerana sekian lama kita dimomokkan dengan aliran pelampau yang membiasakan umat Islam di negara ini dengan maki hamun, mencarut, mencerca bahkan mengkafirkan, mereka sudah merasa tidak berdosa dengan perbuatan itu. Lebih jelek lagi, mereka merasakan itu sebahagian dari ajaran Islam dalam berdakwah. Bagi mereka itulah tanda ketegasan membela Islam. Lebih dahsyat lagi mereka merasakan pendekatan yang santun dan berkomunikasi dengan baik itu satu kesalahan dan tidak tegas membela Islam. Mereka terlupa bahawa Islam melarang akhlak yang buruk dalam dakwah. Bukanlah akhlak Nabi Muhammad s.a.w memaki hamun orang lain. Kata Anas bin Malik r.a:
"Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain". (Riwayat al-Bukhari).
5. Kita boleh bertegas dan berkonfrantasi jika keadaan menuntut hal itu. Namun kesemua itu dilakukan dengan kesantunan cara dan peradaban yang tinggi. Kita membantah, mengkritik dan bertegas, tetapi tidak mencarut dan melucah. Kita mematah hujah, berdebat, tajam sindiran dan sinis, tetapi tidak memaki dan mengeluarkan kata-kata yang tidak layak untuk insan muslim yang diajar agar berakhlak dalam pergaulan dan perkataan. Debat untuk menzahirkan kebenaran bukanlah dilarang, bahkan disuruh jika perlu -seperti dalam ayat al-Quran tadi-. Namun, caranya hendaklah mewakili sifat Islam yang bertamadun.
6. Engagement ataupun berunding dan berbincang merupakan salah satu pendekatan yang diajar dalam Islam. Engagement walaupun zahirnya macam lebih mudah dari berkonfrontasi, namun untuk mengurusnya tidaklah mudah. Ia akan membabitkan perasaan, kemahiran dan terdedah kepada manipulasi. Engagement memerlukan kebijaksanaan agar tercapai tujuan dakwah itu, bukan akhirnya dimangsakan oleh ketangkasan pihak lain. Bukan mudah, kerana engagement itu bukan sahaja perlu menjaga perasaan pihak yang kita berurusan dengannya tetapi juga para pengikut ataupun Umat Islam itu sendiri. Kebimbangan engagement akan membawa kepada kerugian dan manipulasi pihak lain pasti ada.
7. Dalam Sirah Nabi Muhammad s.a.w sendiri, pendekatan âengagementâ ataupun berurusan secara perundingan pernah menyebabkan lahir tidak puas hati dalam kalangan sahabat Nabi S.A.W. Dalam Perjanjian Hudaibiyyah, para sahabat Nabi s.a.w yang mempunyai pengalaman lama ditindas, diperangi, dibunuh, diseksa dan dihalau dari tanahair oleh Quraish Mekah berhadapan dengan pendekatan Nabi s.a.w yang mahu berunding. Majoriti sahabat Nabi s.a.w melihat perjanjian itu tidak selaras dengan semangat juang mereka. Mereka pula terpaksa membatalkan hasrat mereka yang datang untuk menunai umrah ke Mekah dan menerima isi perjanjian yang sepintas lalu tidak selaras dengan jiwa mereka yang bersedia untuk mati membela kebenaran.
Paling tegas membantah ialah âUmar bin al-Khattab sendiri. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita di atas kebenaran dan mereka atas kebatilan?! Jawab Nabi s.a.w: âYaâ. Kata âUmar: âTidakkah orang yang mati dalam kalangan kita di syurga, sedangkan yang mati dalam kalangan mereka dalam neraka?! Jawab Nabi s.a.w: âYaâ. Kata âUmar: âMaka atas alasan apa kita mengurangkan agama kita dan pulang (ke Madinah) sedangkan Allah belum lagi menurunkan hukumanNYA antara kita (siapa yang menang ataupun kalah).
Jawab Nabi s.a.w: âWahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, Allah tidak akan mensia-siakan aku sama sekaliâ. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ternyata akhirnya, engagement yang dilakukan oleh Nabi s.a.w itu membawa kepada kejayaan demi kejayaan dalam dakwah sehingga Islam tersebar lebih luas dan menguasai Kota Mekah.
8. Hari ini Islam telah diberikan gambaran yang buruk di media antarabangsa. Usaha bersepadu musuh dan kelemahan sikap mereka yang ada dalam kalangan Umat Islam itu sendiri menjadikan rancangan memburuk Islam telah berjaya di beberapa peringkat. Islamophobia tersebar di pelbagai negara. Dunia kini pula bagaikan satu kampung yang kecil. Apa sahaja yang berlaku di mana sahaja, tersebar ke seluruh dunia dengan pantasnya. Realiti kini jauh berbeza dengan masa yang lepas. Kini, Islam sering disalahertikan oleh banyak pihak. Manipulasi berita dan kesempatan atas kelemahan dunia muslim menjadikan Islam seakan-akan Islam bagai individu yang memiliki rekod jenayah yang sentiasa dipersalahkan.
9. Dalam menghadapi realiti ini, satu pendekatan yang lebih berkesan dan ijtihad baru dalam perlaksanaan sesetengah hukum-hakam dan pendekatan dakwah perlulah dilakukan. Ini selaras dengan apa yang disebutkan oleh para sarjana, seperti al-Imam Abu âAbbas al-Qarafi (meninggal 684H) dalam al-Furuq: âJangan sepanjang hidupmu jumud dengan baris-baris ayat dalam kitab. Apabila datang seseorang dari negeri yang iklim (budaya) berbeza denganmu meminta fatwa, jangan engkau hukum berdasarkan keadaan negerimu. Hendaklah kamu tanya keadaan negerinya dan nilai serta fatwalah berdasarkan keadaan itu. Bukan keadaan negerimu dan apa yang tertulis dalam kitab-kitab. Inilah kebenaran yang nyata. Jumud dengan petikan-petikan (kitab) pasti satu kesesatan dalam agama, kejahilan terhadap maksud para ulama Islam dan golongan salaf yang lampauâ. (Al-Qarafi, al-Furuq, 1/176. Beirut: âAlam al-Kitab)
10. Demikian yang disebut oleh al-Imam Ibn âAbidin al-Hanafi (meninggal 1252H): âKebanyakan hukum yang diterangkan oleh mujtahid adalah berdasarkan uruf zamannya, di mana jika dia di zaman uruf yang berbeza nescaya dia akan beri pendapat berbeza dengan apa yang dia telah nyatakan dahulu. Maka dengan ini, mereka menyebut bahawa antara syarat ijtihad hendaklah mujtahid itu mengetahui adat kebiasaan manusia. Ini kerana kebanyakan hukum berbeza disebabkan perbezaan zaman, perubahan keadaan orang zaman tersebut, berlakunya keadaan darurat ataupun kerosakan (nilai) orang zaman tersebut yang mana jika hukum itu kekal seperti sebelumnya akan menyebabkan kesusahan dan mudarat kepada manusia. Juga akan menyanggahi syariah yang dibina atas meringankan, memudahkan, menghalang mudarat dan kerosakan serta mengekalkan alam ini atas sebaik-baik sistem dan seelok-elok peraturan. (Risalah Ibn âAbidin, dinukil dari Ahmad bin Mahmud al-Shanqiti, Al-Wasf al-Munasib li Sharâ al-Hukm)
11. Dalam menghadapi realiti baru ini, tokoh-tokoh ilmuwan dan pendakwah yang mempunyai kefahaman yang luas telah mengorak langkah mencari pendekatan yang lebih realistik dalam menghadapi cabaran baru. Antara contoh yang boleh kita lihat ialah Syeikh Hamza Yusuf. Pendekatan beliau ternyata berubah dari zaman awalnya dibandingkan masa kini. Dari zaman konfrantasi kepada engagment dengan realiti dan persekitaran baru yang ada. Demikian tokoh-tokoh ulama seperti al-Syeikh Abdullah bin Baiyah, Salman âAudah dan seumpamanya.
12. Saya tertarik apabila membaca kenyataan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) yang meminta supaya seorang muslim tidak perlu berbeza penampilan zahirnya jika dia berada dalam lindungan penguasaan bukan Muslim. Padahal Ibn Taimiyyah itu terkenal sebagai tokoh dalam aliran salafi. Namun beliau tidak sempit seperti sesetengah aliran salafi hari ini. Kata Ibn Taimiyyah: âSekiranya Muslim berada di negara musuh, ataupun negara kufur yang bukan musuh maka dia tidak disuruh untuk berbeza dengan mereka dari segi penampilan zahir kerana itu akan memudaratkan. Bahkan digalakkan ataupun diwajibkan menyertai mereka di sudut penampilan zahir jika itu terdapat kemaslahatan agama seperti untuk dakwah mereka kepada Islam dan memerhati keadaan dalaman mereka untuk dimaklumkan kepada kaum Muslimin mengenainya ataupun menghalang bahaya mereka terhadap kaum muslimin ataupun selainnya yang merupakan tujuan-tujuan yang baikâ(Ibn Taimiyyah, Iqtida al-Sirat al-Mustaqim, 154. Kaherah: Dar Ibn Jauzi)
13. Dalam dunia globalisasi hari ini, segala isu yang berlaku di tempat lain akan tempias ke tempat kita. Penguasaan pemerintah sesebuah negara juga sering dibatasi oleh tuntutan-tuntutan di peringkat global yang sukar dihalang. Campur tangan asing terhadap sesebuah negara boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Perang persepsi terhadap agama boleh merosakkan akidah dan kesatuan umat melebihi dari perang bersenjata. Dalam keadaan ini, kita semua wajib berijtihad mencari pendekatan yang terbaik dalam membela dan menampil wajah Islam yang rahmah, ramah, responsif dan progresif.
14. Era ini memerlukan pemurnian kepada ajaran Islam yang sebenar. Era ini juga menuntut pendekatan yang bersesuaian agar penguasaan akidah Islam ke atas manusia dengan rela dan redha berakar dan berkembang. Perang persepsi yang dilancarkan ke atas Islam perlu ditangkis dengan memberikan persepsi Islam yang sebenar iaitu rahmat, berkhidmat untuk kemanusiaan sejagat, progresif dan berperadaban tinggi. Kita memerlukan lebih engagement yang berkesan.
*** Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan Mufti Perlis
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment