LGBT: Imbangan dan jajaran minda
BEGITU aturan ALLAH SWT, dalam ramai tak peduli kepada seorang buta melintas jalan akan ada seseorang menghampiri membantu menuntunnya. Dalam ramai yang tidak ambil tahu nasib para gelandangan di bawah jambatan, ada juga yang peduli membela, membantu nasib mereka.
Waima kepada haiwan jalanan seperti burung, kucing dan anjing akan ada sahaja insan yang digerakkan hati membantu sama ada memberi makan ataupun mengubatkan luka.
Jadi apa kaitannya dengan golongan LGBT ini. Mereka adalah golongan songsang, dilaknat ALLAH dan nabi pun tidak mengaku umat. Ia merupakan isu universal telah wujud sekian lama dalam sejarah tamadun manusia. Perbuatan songsang ini ada dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran dan al-Hadis, memang ditegah dan larangan tersebut kekal hingga kini (selamanya).
Bagaikan ada prejudis dalam gejolak isu ini dalam konteks Malaysia baharu. Pihak-pihak tertentu seperti melabel bahawa kerajaan kini bersifat liberal dalam banyak perkara termasuklah mendukung fahaman âIslam Liberalâ
Dalam konteks lebih luas, gerakan ekstremisme (Daesh, IS) dan liberalisme memang menjadi ancaman semasa negara-negara Islam termasuk Malaysia. Agenda terancang mereka (pihak Barat) untuk merosakkan kesucian Islam kestabilan politik, sosial dan perpaduan boleh menggugat keamanan negara.
Liberalisme merupakan satu kepercayaan, falsafah hidup dan gerakan yang meletakkan idea kebebasan sebagai prinsip utama dan dominan demi membebaskan manusia daripada sebarang kawalan moral, termasuk mengetepikan peranan agama untuk mengatur kehidupan manusia.
Golongan Muslim Liberal dikatakan menyokong dan memperjuangkan seks bebas serta LGBT. Mereka turut memperjuangkan hak perkahwinan sesama jenis. Ini menunjukkan bahawa hak asasi ciptaan golongan ini amat bertentangan dengan agama wahyu yang lengkap dan menepati fitrah-Islam
Adakah kita mendapati aktivis yang dilihat bersuara memperjuangkan golongan LGBT di negara ini sampai ke tahap itu? Atau adakah kita melihat kerajaan semasa condong membela dan merestui pergerakan golongan tersebut?
Daripada penjelasan yang dibuat aktivis dikaitkan, mengatakan beliau hanya menuntut agar golongan tersebut tidak didiskriminasi dan diberikan hak sama rata sebagai rakyat di negara ini. Hak mendapat rawatan, hak diberikan pendidikan dan seumpamanya. Tidak sama sekali menuntut sehingga dibenarkan mereka berkahwin sesama jantina.
Pihak kerajaan menerusi menteri agamanya juga dilihat tegas tidak menyokong aktiviti mempromosi dan memperkenankan agenda golongan berkenaan. Maka timbul pula persoalan adakan golongan tersebut selama ini tidak mendapat hak seperti dinyatakan. Adakah mereka ditindas dan tidak dilayan seperti rakyat yang normal? Marilah kita bersangka baik. Jika tiada siapa yang mendekati golongan ini siapakah yang mampu mentarbiah dan menarik mereka daripada kesesatan terus menerus. Banyak faktor yang mendorong seseorang itu terjebak dengan amalan di luar fitrah ini.
Tidaklah wajar golongan ini terbiar tanpa perhatian dan pembelaan. Bukan untuk merestui tetapi membimbing mereka kembali ke pangkal jalan. Rahmat ALLAH SWT amat luas dan bersifat maha pengampun.
Institusi keluarga mempunyai peranan penting bagi membendung gejala songsang ini daripada bercambah. Berikan perhatian kepada anak-anak dan ahli keluarga daripada peringkat awal dengan kawalan yang sepatutnya. Ini termasuklah membimbing mereka dari segi didikan agama.
Sebagai anggota masyarakat sama-samalah kita memainkan peranan dan prihatin untuk membantu. Bukan mencela dan mengeji. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk mereka, untuk kita. Kita ada anak, cucu, ujian Tuhan datang dengan pelbagai cara.
Jauhi sentimen kecam mengecam kerana perbezaan âbenderaâ. Tanya diri apakah peranan kita dalam menangani masalah ummah dan negara ini untuk menuju dan mencapai kesejahteraan bersama dunia dan akhirat.
Siapa yang ingin mendekati mereka yang leka di pub dan disko. Siapa yang sanggup bersengkang mata menghampiri gelandangan di dinihari. Siapa yang ingin menyedia dan membawa makanan kepada kucing-kucing yang berkeliaran di pasar⦠ALLAH SWT yang aturkan insan-insan terpilih itu.
Teringat sebuah kisah pada zaman Nabi Musa, bila mayat seorang lelaki pendosa dibuang ke tempat sampah jauh di hujung kampung oleh orang-orang yang merasakan dirinya suci. Namun ALLAH SWT mengilhamkan kepada Nabi Musa agar mencari, memandikan, mengapankan dan dikebumikan dengan sempurna. ALLAH SWT jua yang maha mengetahui. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat husnul khatimah untuk semua ahli keluarga kita.
* Penulis mempunyai latar belakang alam bidang Pengurusan Manusia. Kini Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment