Hishamuddin Rais dipanggil beri keterangan kepada polis

Wednesday, August 15, 2018

Hishamuddin Rais dipanggil beri keterangan kepada polis

Hishamuddin Rais dipanggil beri keterangan kepada polis

KUALA LUMPUR - Polis hari ini merekodkan keterangan aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di blognya pada 6 Jun lepas.

Peguam Zaid Malek yang mewakili Hishamuddin, berkata anak guamnya itu diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 4 petang ini bagi membantu siasatan berhubung artikel berkenaan.

"Proses merakam keterangan hampir dua jam itu berjalan dengan baik dan Hishamuddin sendiri telah memberikan kerjasama kepada pihak polis.

"Beliau (Hishamuddin) diminta hadir berikutan terdapat satu laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh seorang lelaki dari Chembong Rembau, Negeri Sembilan, baru- baru ini," katanya kepada pemberita sejurus proses memberi keterangan selesai.

Menurutnya, Hishamuddin disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Hishamuddin meminta agar kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan Akta Hasutan 1948 seperti yang terkandung dalam manifesto mereka.

"Sekiranya mereka gagal berbuat demikian saya akan berkempen dalam blog saya mengatakan kerajaan yang memerintah mungkir janji," katanya.

Pada 6 Jun lepas, Hishamuddin didakwa telah memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Sultan Muhammad V di blognya,  www.tukartiub.blogspot.com.  

Bagaimanapun, pada keesokannya (7 Jun), Hishamuddin telah membuat laporan polis menafikan ada memuat naik artikel berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong dan mendakwa blognya telah digodam. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment