Ini luahan ibu kanak-kanak dipukul guru tabika

Wednesday, August 15, 2018

Ini luahan ibu kanak-kanak dipukul guru tabika

Ini luahan ibu kanak-kanak dipukul guru tabika

IBU mana tidak tersentuh melihat video anaknya dipukul menjadi tular di media sosial.

Rentetan kejadian menimpa anaknya itu, si ibu salah seorang kanak-kanak malang itu, Nur Hasriha Mohamad meluahkan rasa hatinya di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Malah, luahannya itu turut menarik perhatian netizen.

“Assalamualaikum….Berkenaan dengan kes dera anak saya itu, terus-terang saya katakan saya langsung tak boleh terima apa yang dia dah buat pada anak saya. Tak sangka orang yang saya percaya boleh jaga anak saya sebenarnya berhati binatang (maaf bahasa kasar).

“Kami bukan daripada keluarga yang senang. Yuran bulanan yang mahal iaitu sebanyak RM380 mengharapkn penjagaan yang setimpal dengan harga, bukan dengan cara macam ini.

“Terus-terang saya cakap, sepanjang hantar anak ke situ, cikgu-cikgu semua nampak baik sangat depan saya. Sampai anak tak nak sekolah saya fikir positif je.

“Rupa-rupanya inilah sebabnye anak saya tak nak ke sekolah. Dia ade juga cerita ‘teacher’ pukul Dina. Tetapi cerita itu sebelum kejadian. Saya tak percaya cakap anak.

“Dia siap tunjukkan (cara) ‘teacher’ pukul macam mana. Saya dan suami masih berfikiran positif. Biarkan sahaja apa yang Dina cakap,” katanya.

Dina Hanania Shahrulzaman.

Luahnya lagi, setiap kali membuka laman sosial Facebook, penuh cerita berkaitan anaknya dan video itu sentiasa menghantui dirinya dan hasratnya untuk meraikan sambutan hari ulangtahun kelahiran anaknya itu terpaksa dipendamkan sahaja apabila kejadian ini.  

“Hari ini 14.8.2018 (semalam) genap anak ummi Dina Hanania Shahrulzaman, (berusia)  3 tahun. Perancangan awal nak sambut hari jadi dia kat sekolah dengan kawan-kawan.

“Bila dah jadi macam ini, memang tak buatlah. Ini tahun pertama dia sekolah dan tahun pertama dia dah merasai benda macam ni.

“Tadi sebelum dia tidur, saya ada cakap dengan dia, Dina nak sekolah baru tak? Seronok dia bila dengar ummi nak carikan sekolah baru. Mungkin dia rasa syurga bila dah tak sekolah situ,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Video kanak-kanak tadika di Melaka dikasari viral]

Nur Hasriha turut melahirkan harapan, di tempat baharu anaknya nanti, pihak sekolah dapat menjaga anaknya dengan baik

“Tapi saya harap sangat sekolah baru nanti tolonglah jaga anak saya betul-betul. Janganlah perkara ini berulang lagi. Kasihanlah budak-budak yang tak berdosa dianiaya sebegini rupa.

"Apa-apapun saya berterima kasih kepada tuan yang merakam dan pengurus sekolah kerana bertindak cepat. Puan dah melakukan yang terbaik untuk anak-anak yang teraniaya ini.

“Kepada si perlaku, saya tak akan maafkan awak sampai bila-bila. Saya harap nasib anak saya dan yang lain-lain akan terbela nanti,” katanya.

Katanya, semoga kes ini menjadi pengajaran buat semua.

"Bagi yang mahu bekerja sebagai pengasuh, pastikan diri anda benar-benar seorang yang penyabar dan sukakan kanak-kanak," katanya.

Rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat kepada ibu dan kanak-kanak tersebut dan turut mengucapkan selamat hari ulang tahun kepada kanak-kanak comel itu.

[ARTIKEL BERKAITAN : Permit mengajar dua guru tadika dera murid ditarik balik]



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment