ALLAH masih sayangkan saya : Wan Maimunah
SENIWATI terkenal, Wan Maimunah memohon agar tiada lagi pihak yang menyebarkan fitnah kononnya dia telah meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Alor Gajah, Melaka sejak Sabtu lalu.
Wan Maimunah menerusi rakaman video yang dikirimkan kepada mStar Online melalui presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave yang melawat pelakon itu memberitahu dia masih lagi bernyawa dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang tuduhan.
"Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Sekarang saya ada bersama dengan Datuk DJ Dave yang datang menziarahi saya.
"Dia saksikan, ALLAH masih sayangkan saya, masih bagi saya nyawa dan nafas.
"Apa yang digembar-gemburkan dalam YouTube itu adalah fitnah semata-mata," katanya.
Pemilik nama sebenar Wan Maimunah Wan Aziz, 64, itu dimasukkan ke hospital berkenaan akibat sesak nafas dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Pada akhir November 2016, pelakon terkenal dengan watak air mata itu pernah dimasukkan di Hospital Jasin, Melaka akibat komplikasi penyakit yang sama dan jantung bengkak.
Dalam pada itu, Wan Maimunah yang turut mengalirkan air mata dalam mesejnya memberitahu fitnah yang tersebar itu akan menyusahkan orang lain termasuk kaum keluarganya.
Malah paling membimbangkan sekiranya berita tidak benar itu sampai ke pengetahuan anaknya yang kini bekerja di luar negara.
"Anak saya jauh di luar negara, kalau dia dapat tahu macam mana? Signal telefon di hospital pun kadang-kadang tidak berapa baik.
"Jadi minta tolong, janganlah suka buat fitnah macam ini kepada yang lain-lain... Menyusahkan orang lain," jelasnya.
Tambahnya, dia tidak berasa marah apabila difitnah sebegitu dan merayu agar menghentikan perbuatan itu kepada orang lain juga.
"ALLAH masih sayangkan saya. Saya tak marah pada orang yang fitnah tapi tolong, saya merayu jangan buat dekat orang lain. Terima kasih, Assalamualaikum," katanya.
Dalam lawatan itu DJ Dave turut menghulurkan sumbangan bagi pihak yayasan diwakilinya kepada Wan Maimunah.
Sementara itu, pelakon Jasmin Hamid turut berkongsi perkembangan Wan Maimunah menerusi akaun Instagramnya.
Bukan itu sahaja, wanita berusia 46 tahun itu turut berkongsi nombor akaun dramatis tersebut sekiranya ada yang berniat untuk memberikan sumbangan.
"Memandangkan ramai yang bertanya kepada saya, bagaimana caranya jika ingin memberi sumbangan buat beliau, dengan keizinan beliau, saya paparkan nombor akaun pada yang ingin hulurkan sumbangan buat beliau.
"Bila kita ringankan beban orang lain, ALLAH juga akan ringankan beban kita.. Marilah kita sama-sama berdoa buat beliau supaya ALLAH sembuhkan penyakit beliau dan panjangkan usia beliau," tulisnya.
Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh salurkan ke nombor akaun 060801000048704 (Lembaga Tabung Haji) atas nama Wan Maimunah Binti Abdul Aziz. -mStar Online
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment