Warga emas terpedaya, rugi hampir RM7,000

Thursday, August 16, 2018

Warga emas terpedaya, rugi hampir RM7,000

Warga emas terpedaya, rugi hampir RM7,000

MARANG - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kepong di Dun Alur Limbat di sini, mengingatkan masyarakat khususnya warga emas berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali.

Pengerusi MPKK Kepong, Cheku Abu Bakar Cheku Omar berkata, seorang pemuda telah dikesan menyasarkan seorang warga emas, kononnya mahu membantu warga emas terbabit namun menipu dengan 'santun'.

Beliau berkata, dengan alasan mahu menjaga warga emas itu, mangsa percaya pemuda terbabit mempunyai niat yang baik tambahan pemuda terbabit mendakwa ia adalah amanah daripada anak-anak mangsa.

"Ia dikaitkan dengan peristiwa terbaharu, mangsa yang terbaharu, yang berlaku di kampung kita ini, di mana seorang (lelaki) datang menyamar untuk menjaga dia (warga emas terbabit) akhirnya dia menipu.

"Ia melibatkan kerugian wang tunai hampir kira-kira RM1,600, kemudian barang kemas pula bernilai RM2,000 hingga RM3,000. Jadi inilah yang kita hendak elakkan agar ia tidak berulang," katanya, hari ini.

Beliau ditemui ketika melawat mangsa terbabit, Tengku Zaharah Tengku Awang, bersama Pengerusi Persatuan Komuniti Sosial Negeri Terengganu, Yusri Abdul Rahman di rumah warga emas itu, di sini.

Warga emas dua anak berusia 73 tahun itu bukan sahaja mengalami kerugian wang dan barang kemas tetapi turut dipaksa meminjam wang daripada penduduk lain sebelum wang diperoleh bertukar tangan.

Cheku Abu Bakar berkata, mangsa didatangi pemuda terbabit kira-kira dua bulan lalu yang menggunakan helah dengan memperkenalkan diri sebagai wakil untuk menjaga warga emas malang itu.

Menurutnya, mangsa tanpa berfikir panjang bersetuju tambahan pemuda itu mendakwa anak kepada warga emas terbabit memintanya mengurus dan menjaga keperluannya yang tinggal keseorangan.

"Pada peringkat awal mangsa tidak mengesyaki sebarang penipuan namun setelah pemuda itu meminta mangsa untuk meminjam wang dari jiran berhampiran, penduduk pula mula curiga," katanya.

Perkara sebenar hanya terbongkar apabila penduduk meminta penjelasan mangsa yang kemudiannya memaklumkan sudah menyerahkan semua wang tunai serta barang kemasnya kepada pemuda itu.

Menurutnya, mangsa juga sudah membuat laporan polis berkaitan penipuan tersebut selain mengakui dia seolah-olah dipukau pemuda itu sehingga terpaksa menurut sahaja setiap arahan diberikan.

Cheku Abu Bakar kemudiannya mengulangi peringatannya kepada masyarakat setempat khususnya warga emas di kampung itu agar tidak mudah terpedaya sekiranya dikunjungi individu tidak dikenali.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment